Pengenalan kepada Teori Elliott Wave

Baca artikel ini di laman web FBS

Apa itu Teori Elliott Wave?

Teori Elliott Wave ialah teori analisis teknikal yang digunakan untuk mengenal pasti dan menerangkan tentang gelombang ― iaitu pergerakan harga fraktal yang berulang-ulang untuk jangka panjang dalam pasaran kewangan. Pada masa ini, Elliott wave adalah salah satu alat paling popular yang digunakan untuk membuat unjuran Forex. Mengikut pengalaman kami, ia juga satu-satunya alat yang boleh menyusun pergerakan harga pada setiap rangka masa dari carta Bulanan atau Tahunan kepada selang masa intrahari satu minit.

Dalam artikel ini, anda akan mengetahui lebih lanjut tentang bagaimana Teori Elliott Wave berfungsi, jenis gelombang yang ada, dan cara menggunakan Elliott Wave dalam perdagangan.

Siapakah pengasas teori tersebut?

Teori Elliott Wave telah dibangunkan oleh Ralph Nelson Elliott (1871 ― 1948), seorang ahli ekonomi dan akauntan yang terkenal. Beliau telah menjalankan kajian sistematik data pasaran saham dan pada tahun 1938, beliau telah menerbitkan sebuah buku yang bertajuk ‘The Wave Principle’ dimana beliau telah memberikan laporan yang terperinci tentang penemuannya. Di dalam bukunya, beliau menyatakan bahawa walaupun pasaran saham mungkin kelihatan seperti tidak boleh diramalkan, tetapi sebenarnya harga bergerak mengikut aturan semulajadi yang telah ditetapkan dan boleh diukur dengan bantuan nombor Fibonacci. Elliott juga menerangkan tentang aturan alami ini dan dalam penerbitannya selepas itu, beliau menerangkan bagaimana kaedah pengunjuran pasarannya berfungsi.

Pada masa ini, kebanyakan pedagang mengikut peraturan dan garis panduan yang berkait dengan Elliott Wave seperti yang diterbitkan dalam buku yang ditulis oleh Robert R. Prechter Jr. dan A.J. Frost yang bertajuk 'Elliott Wave Principle: Key to Market Behavior'.

Memahami Teori Elliott Wave

Semasa mengkaji data pasaran saham, Elliott telah meneliti data harga untuk tempoh tujuh puluh lima tahun dengan begitu berhati-hati, dari carta indeks tahunan hingga carta indeks setengah jam. Dalam penerbitannya, beliau telah memperihalkan peraturan tentang cara mengenal pasti dan meramalkan pola gelombang dalam pergerakan harga dan cara untuk mendapatkan sebanyak mungkin keuntungan daripadanya. Kini, hasil kerja beliau digunakan oleh pengurus portfolio, pedagang, pelabur swasta dan penganalisis kewangan serta syarikat pengunjuran pasaran di seluruh dunia.

Pada masa yang sama, Elliott mengingatkan orang ramai agar tidak mempercayai pola ini secara membuta tuli kerana ia tidak menjamin bahawa harga boleh meneruskan pergerakan dalam hanya satu cara sahaja. Sebaliknya, pola Elliott wave ini dapat membantu pedagang untuk memahami kebarangkalian tindakan pasaran pada masa hadapan. Pendekatan yang lebih baik adalah dengan menggabungkan alat ini dengan kaedah analisis teknikal yang lain untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang situasi pasaran.

Bagaimana Elliott Wave berfungsi

Menurut Teori Elliott Wave, harga saham bergerak dalam pola menaik dan menurun yang berulang-ulang yang mirip seperti gelombang. Ini seharusnya menjadikan pola ini mudah untuk diramal, sama seperti gelombang, pola ini berlaku dengan frekuensi yang boleh dikira dan diramal sekiranya anda mengetahui peraturan-peraturannya. Elliott mengatakan bahawa swing harga ini berlaku disebabkan oleh psikologi kolektif para pelabur.

Elliot bukanlah orang pertama yang membuat kesimpulan bahawa harga saham bergerak seperti gelombang. Sentimen ini telah dinyatakan dalam teori Dow beberapa dekad sebelum itu. Tetapi Elliott telah mendapati bahawa pasaran kewangan bersifat fraktal, bermakna harga pasaran akan sentiasa berulang-ulang secara tidak terhingga. Ini membolehkan beliau memerhatikan pola yang berulang-ulang ini dengan teliti dan membuat analisis sama ada ia boleh digunakan untuk meramalkan pergerakan harga masa hadapan.

Unjuran pasaran berdasarkan pola gelombang

Selepas kajian yang meluas, Elliott membuat kesimpulan bahawa terdapat dua jenis gelombang yang berbeza dalam pasaran kewangan: gelombang motif (atau gelombang impuls) dan gelombang pembetulan. Gelombang impulsif muncul dalam arah yang sama seperti arah trend utama dan biasanya mempunyai lima gelombang dalam satu pola. Gelombang pembetulan pula adalah sebaliknya, ia berlaku dalam arah yang berlawanan dengan aliran utama trend. Ciri-ciri pola gelombang ini, seperti yang ditemui Elliott, boleh membantu semasa mengunjurkan pasaran, terutamanya apabila ia digunakan bagi mengunjurkan arah utama harga dan kemungkinan berlakunya pembetulan trend.

Gelombang impuls (Impulse waves)

Gelombang impuls adalah salah satu daripada dua pola gelombang yang ditakrifkan oleh Ralph Nelson Elliott. Gelombang impuls sejajar dengan arah utama pergerakan harga – dalam uptrend ia merujuk pada pergerakan menaik dan dalam aliran menurun ia menandakan pergerakan menurun. Gelombang impuls boleh digunakan untuk meramalkan arah trend masa depan dan secara amnya dianggap sebagai pola yang mengesahkan trend.

Gelombang impuls terdiri daripada lima sub-gelombang yang bergerak dalam arah yang sama seperti arah trend utama. Tiga daripadanya adalah gelombang motif dan bergerak dalam arah trend utama manakala yang lain adalah gelombang pembetulan.

Oleh kerana gelombang impuls adalah pola yang terdiri daripada lima sub-gelombang, setiap satu daripadanya menandakan tahap-tahap kepentingan awam yang berbeza dalam suatu saham. Mari kita lihat pada carta. Semasa Gelombang 1, hanya sebilangan kecil orang yang membeli saham tersebut dan ini yang menyebabkan harganya meningkat. Kemudian, apabila pedagang-pedagang mula berfikir yang harga telah meningkat cukup jauh, mereka akan mula menjual dan ini menyebabkan harga turun sedikit, dan gelombang pembetulan 2 akan muncul. Selepas ini muncul pula Gelombang 3, yang bermaksud bahawa orang ramai mula berminat dengan saham tersebut dan mula membelinya. Harga akan menjadi semakin tinggi dan biasanya akan melebihi paras ketinggian Gelombang 1. Secara lumrahnya, apabila pedagang menganggap harga saham itu menjadi semakin mahal, mereka akan menjualnya, menyebabkan muncul satu lagi gelombang pembetulan 4, tetapi lebih lemah. Gelombang akhir pola iaitu Gelombang 5, menandakan minat tertinggi terhadap saham, menyebabkan harga naik mencanak-canak.

Tetapi pedagang perlu berhati-hati kerana gelombang impuls terbentuk mengikut peraturan tertentu sahaja. Jika peraturan ini dilanggar, pembentukan pada carta itu bukanlah gelombang impuls. Peraturan yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

  • Gelombang 2 tidak boleh mengundur semula lebih daripada 100% Gelombang 1;
  • Gelombang 3 mestilah lebih panjang daripada Gelombang 1 atau Gelombang 5;
  • Gelombang 4 tidak boleh bertindih dengan Gelombang 1.

Jika peraturan ini dipatuhi, kemungkinan besar formasi yang anda lihat pada carta adalah gelombang impuls.

Gelombang pembetulan

Selepas pola gelombang impuls anda boleh menjangkakan untuk melihat pola gelombang pembetulan tiga gelombang (three-wave corrective pattern). Gelombang pembetulan bergerak melawan arah trend, berpatah balik dari tahap-tahap tinggi atau rendah yang telah dicapai sebelum ini.

Gelombang pembetulan terdiri daripada tiga sub-gelombang: dua gelombang pembetulan dan satu gelombang motif yang lemah.

Elliott menyatakan bahawa terdapat 21 pola gelombang pembetulan. Sebahagian daripada pola ini adalah mudah, sebahagian lain pula lebih kompleks, tetapi kesemuanya boleh dibahagikan kepada tiga kategori utama.

  1. Zig-zag. Pembentukan zig-zag terdiri daripada tiga sub-gelombang dengan sub-gelombang motif adalah yang paling pendek berbanding dengan sub-gelombang pembetulan. Zig-zag boleh disambung-sambungkan dan berlaku beberapa kali secara berturut-turut dalam satu pembetulan.
  2. Flat (rata). Dalam formasi rata semua gelombang biasanya sama panjang antara satu sama lain. Setiap gelombang tersebut menyongsang pergerakan gelombang sebelumnya.
  3. Segi tiga. Dalam formasi segi tiga, pola pembetulan dihadkan sama ada oleh garisan-garisan trend yang menumpu atau mencapah. Gelombang dalam pola segi tiga bergerak ke sisi berlawanan dengan arah trend. Bergantung pada arah pergerakan harga, segi tiga boleh menaik (bullish), menurun (bearish) atau simetri (symmetrical).

Pertimbangan khusus

Elliott menyatakan bahawa bilangan gelombang impuls atau pembetulan sebenarnya berkorelasi dengan jujukan Fibonacci dan pergerakannya dalam carta sepadan dengan nisbah Fibonacci.

Terdapat banyak indikator teknikal yang berasaskan Teori Elliott Wave. Sebagai contoh, Osilator Elliott Wave menggabungkan kedua-dua Elliott Wave dan Purata Bergerak untuk meramalkan arah pergerakan harga masa hadapan dengan lebih tepat.

Bagaimanakah anda boleh berdagang menggunakan Teori Elliott Wave?

Teori Elliott Wave boleh membantu anda untuk memutuskan langkah yang boleh anda ambil bagi memastikan perdagangan anda berjaya dan menguntungkan. Contohnya, jika anda melihat gelombang impuls dalam suatu uptrend, anda mungkin mahu membeli saham berkenaan dan memilih untuk short apabila sub-gelombang kelima tamat. Jika pola gelombang telah tamat, anda juga mungkin menunggu pengulangan pola gelombang tersebut kerana ia adalah pola fraktal dan akan berulang semula selepas beberapa ketika.

Permulaan perjalanan

Sekarang, setelah kita memahami apa itu Teori Elliott Wave, mari kita lihat dengan lebih dekat cara anda boleh mengaplikasikannya dalam amalan perdagangan. Penjelasan berikut adalah berdasarkan peraturan dan garis panduan daripada 'Elliott Wave Principle: Key to Market Behavior' (Prinsip Gelombang Elliott: Kunci Tingkah Laku Pasaran), manakala semua contoh diambil daripada pasaran sebenar.

LEGO Pasaran

Seperti yang telah kita ketahui, terdapat dua komponen utama dalam Teori Elliott Wave: impuls (pergerakan harga lima gelombang) dan pembetulan (pergerakan harga tiga gelombang).

Mari kita lihat pada carta di bawah. Anda boleh lihat terdapat penurunan lima gelombang – dan ini adalah gelombang impuls (terdapat beberapa keadaan di mana pembetulan lima gelombang boleh terjadi). Selain itu, terdapat tiga gelombang lanjutan yang boleh kita pertimbangkan sebagai pembetulan. Memandangkan kita telah mengetahui tentang impuls dan pembetulan, tiba masanya untuk kita melihat gambaran yang lebih besar.

Carta seterusnya adalah bilangan gelombang sebenar sahaja. Gelombang ketiga impuls bearish berkemungkinan adalah gelombang motif dan terus menurun manakala gelombang keempat melantun ke atas.

Ini membolehkan kita membuat kesimpulan berikut: gelombang tidak boleh berjauhan daripada satu sama lain. Gelombang Elliot adalah seperti anak patung bersarang Rusia (Matryoshka). Setiap gelombang adalah sebahagian daripada gelombang yang lain, dan setiap gelombang juga terdiri daripada gelombang-gelombang yang lebih kecil. Ini benar pada kedua-dua rangka masa yang lebih tinggi dan yang lebih rendah.

Dan ini menjadikan Teori Elliott Wave berbeza daripada kaedah analisis pasaran yang lain. Majoriti pendekatan analisis teknikal tertumpu pada pola dan signal yang berasingan dan tidak berkaitan antara satu sama lain. Kekuatan Teori Elliott Wave adalah ia memberi pedagang keupayaan untuk melihat gambaran yang lebih besar, bukan sekadar satu setup tunggal sahaja.

Peluang untuk berfikir

Anda mungkin pernah mendengar bahawa jika anda menggunakan Teori Elliott Wave dalam perdagangan, bilangan gelombang yang mungkin anda temui tidak semestinya satu bilangan yang tertentu. Biasanya, anda mempunyai beberapa senario yang boleh berlaku, dan sebahagian daripadanya adalah bercanggah sesama sendiri. Tetapi inilah sebenarnya perkara yang paling menarik tentang Teori Elliott Wave. Seumpama bermain catur, anda perlu memikirkan langkah yang seterusnya sebelum bertindak.

Jika sesetengah indikator holy grail memberitahu anda untuk membeli atau menjual, anda tidak akan memikirkan apa yang akan anda lakukan jika keadaan ternyata tidak seperti yang anda jangkakan. Dengan Teori Elliott Wave, anda akan cuba memikirkan langkah seterusnya bergantung pada kiraan gelombang yang mana muncul pada masa ini. Ini adalah kemahiran teras pedagang yang berjaya.

Contoh sebenar

Mari kita lihat contoh-contoh sebenar. Contoh pertama ialah indeks DJI. Pada September 2016, indeks mencapai paras tertinggi dalam sejarah dan saya melihat pola gelombang bullish yang jelas. Saya menjangkakan pasaran akan meningkat lebih tinggi kerana gelombang kelima masih jauh dari garis penamat.

Beberapa bulan kemudian, pasaran meningkat lebih tinggi, tetapi saya masih bertahan dengan strategi bullish. Jangkaan ini berdasarkan beberapa perkara dalam Teori Elliott Wave yang akan kita pelajari tidak lama lagi, tetapi buat masa ini, anda boleh melihat cara ia berfungsi.

Pada akhirnya, trend masih bergerak ke atas dan anda boleh lihat kiraan gelombang semasa seperti di bawah.

Contoh kedua ialah USD/TRY. Pada Oktober 2016, gelombang segi tiga keempat nampak seperti telah berakhir, jadi saya menjangkakan satu lagi impuls bullish yang akan berkembang dalam beberapa bulan akan datang.

Selepas itu, terdapat gelombang pembetulan bullish long yang akhirnya tamat dan trend bullish terus berlangsung seperti yang dijangkakan.

Akhirnya pada April 2018, terdapat satu lagi swing bullish kerana Gelombang 4 nampaknya hampir tamat. Akibatnya, pasaran meningkat lebih tinggi.

Populariti Teori Elliott Wave

Walaupun telah dibentangkan kepada masyarakat umum pada akhir 1930-an, Teori Elliott Wave menjadi popular secara meluas hanya pada tahun 1970-an. Ia kemudiannya digunakan untuk meramalkan pasaran bull pada tahun 1980-an dan kejatuhan tahun 1987. Kini, Teori Elliott Wave dianggap sebagai salah satu alat analisis teknikal klasik dan digunakan secara meluas oleh pedagang di seluruh dunia.

Kesimpulan

Teori Elliott Wave adalah salah satu kaedah paling popular yang digunakan untuk meramalkan pergerakan harga masa hadapan. Walaupun nampak mudah, pada hakikatnya ia tidaklah semudah yang disangka. Pedagang perlu mengetahui banyak peraturan yang berkait dengan teori Elliott wave untuk mengenal pasti gelombang ini pada carta dengan betul. Agak sukar juga untuk membuat ramalan semasa gelombang menuju pengakhiran dan untuk merancang langkah seterusnya dengan sewajarnya. Disebabkan itu, untuk menggunakan kaedah ini pada potensi maksimumnya, adalah lebih baik untuk menggabungkannya dengan alat analisis teknikal yang lain.

Mula berdagang

2023-05-26 • Dikemaskini

FBS menyimpan rekod data anda untuk mengoperasikan laman web ini. Dengan menekan butang "Terima", anda menyetujui Polisi Privasi kami.