Psikologi
Psikologi adalah satu isu panas dalam Forex. Aspek-aspek psikologi mempengaruhi prestasi pedagang. Emosi sering mempengaruhi keupayaan kita untuk melihat pasaran dengan jelas dan untuk berfikir secara tenang. Malahan ada masanya, pedagang-pedagang yang berprofil tinggi, berpengalaman luas dan berkemahiran juga gagal mengawal emosi mereka semasa berdagang. Tiada siapa yang sempurna. Dan harus kita katakan bahawa pasaran, makhluk jahat yang berubah-ubah rupa, memang gemar menghukum orang-orang yang membuat kesilapan, atau orang-orang yang terlebih taksir kebolehan sendiri. Jadi, pedagang harus boleh mengawal emosi mereka supaya tidak dihukum di kemudian waktu.
Apakah emosi yang berbahaya?
Kebimbangan, ketakutan dan panik
Kebimbangan adalah salah satu musuh terburuk pedagang. Ia suka membisikkan kepada mereka bahawa mereka akan gagal untuk beroleh wang walaupun strategi perdagangan mereka mantap. Jadi, daripada membuat untung yang besar dan beroleh duit yang banyak, mereka tidak memulakan sebarang dagangan berisiko, atau keluar posisi lebih awal dari yang diperlukan kerana tidak berani menunggu sehingga sasaran awal tercapai. Ia adalah kesilapan paling lazim bagi pedagang novis.
Lebih-lebih lagi, orang mengambil berat tentang wang hasil titik peluh mereka. Mereka tidak suka duduk dan menonton bagaiman dagangan mereka bertindak mengkhianati mereka. Mereka pasti akan berbuat sesuatu untuk menghentikan 'pendarahan'. Seandainya mereka tidak tahu bagaimana untuk bertindak di dalam situasi tegang ini, mereka akan mula panik dan mengambil tindakan carca marba yang membawa kepada kerugian kewangan. Tempoh masa kemeruwapan pasaran adalah pemangkin lazim tindak balas sebegitu. Kesenjangan yang membesar dari turun naik harga membawa kepada kemerosotan keyakinan terhadap keputusan perdagangan yang telah di ambil, kita mula mempersoal strategi berdagang sendiri dan cuba mengubah sesuatu di detik-detik kemuncak.
Sentiasa tenang. Panik hanya akan mengganggu tumpuan anda. Ingat matlamat anda. Gunakan pesanan Renti Rugi (Stop Loss) dan Ambil Untung (Take Profit). Sekali anda sudah letakkan pesanan perlindungan, anda harus berpegang teguh kepadanya.
Tamak
Pedagang forex adalah manusia yang berpaksikan wang ringgit. Motivasi mereka adalah membuat duit dan meletakkan kepentingan yang tinggi kepada kejayaan kewangan. Pendekatan sebegitu, jika secara bersederhana, adalah agak diperlukan. Tetapi jika dorongan yang sihat ini bertukar menjadi suatu kemaruk, ia akan menyebabkan kerugian kewangan. Anda harus belajar mengawal nafsu terhadap keuntungan. Jika tidak, anda berisiko mengeringkan poket sendiri.
Untuk mengelakkan ini dari berlaku, anda harus menerapkan pendekatan berdisiplin ke atas aktiviti-aktiviti perdagangan anda yang boleh meminimakan peranan emosi di dalam keputusan perdagangan.
Euforia
Adakalanya para pedagang dibuai euforia. Mereka dikuasai perasaan gembira dan bahagia yang berlebihan, tidak normal dan tidak rasional setelah meraih keuntungan yang berturut-turut. Mereka berangan-angan untuk mendapat lebih lagi di masa hadapan dan melihat berbakul-bakul peluang perdagangan di hadapan mata. Dalam bahasa yang mudah, mereka mendapat keyakinan mereka berjaya menemui satu pendekatan menang-menang untuk berdagang Forex. Tetapi di dalam jangka masa yang lebih panjang mereka akhirnya kekecewaan, kerana hari panas tidak sampai ke petang. Pedagang tersebut beransur-ansur mempercayai bahawa tiada analisis kewangan yang sempurna; dagangan yang seterusnya tidak sentiasa menguntungkan. Fasa euforia berakhir, dan pedagang ini menjadi lebih waspada di dalam tindakannya di masa hadapan.
Jangan sampai hanyut. Ketahui bila untuk berhenti sewaktu kemenangan datang bertali arus.
Mendapatkan 'corak fikir' yang betul untuk berdagang dengan jayanya
Pertama sekali, anda harus berpegang teguh kepada pelan perdagangan dan melaksanakan dengan sempurna peraturan-peraturan pengurusan kewangan asas. Ikut metodologi yang telah ditetapkan. Bersandar kepada logik, bukannya gerak hati, kerana ketika berdagang berdasarkan gerak hati anda cenderung untuk lupa tentang pengurusan risiko yang sewajarnya. Anda harus tidak berasa was-was dengan tindakan anda dan tidak gusar tentang hasil akhirnya.
Jangan lemaskan diri dengan penyesalan jika harga terus meningkat selepas anda menutup posisi bullish. Pasaran tidak ke mana-mana dan akan sentiasa ada peluang lain untuk membuat duit.
Sesetengah pengarang membicarakan tentang "zon" - kombinasi corak fikiran yang positif, fokus yang tajam, dan kepatuhan kepada disiplin berdagang yang membolehkan pedagang-pedagang elit menghasilkan keputusan mengkagumkan secara berterusan, hari demi hari, tahun demi tahun.
Menangani kerugian
Biasakan diri dengan idea bahawa kerugian akan sentiasa terjadi. Tiada ada pedagang di dunia yang mampu mencatat keuntungan bagi setiap dagangannya.
Faham bahawa anda tidak boleh memutarkan masa ke belakang dan melaksanakan dagangan yang sama sekali lagi. Ia seperti sedang berdiet sambil menikmati kek coklat. Setelah puas makan yang manis-manis, tiada yang boleh dilakukan melainkan harus pergi semula ke gym dan bersenam untuk membakar kalori tersebut. Begitu juga halnya dengan berdagang. Bila wang sudah hangus, buat analisa mengapa ia terjadi, buat rumusan dan gunakan pengetahuan dan pengalaman baru ini untuk memperbaiki sistem anda. Jangan pernah terdetik untuk membalas dendam dengan memenangi semula wang yang sudah hilang. Redhakan kerugian itu dan mulakan fasa baru. Matlamat anda bukan untuk bertanding melawan pasaran, tetapi untuk membuat duit dengan Forex.
Memantapkan psikologi diri
Terima kenyataan bahawa hasil yang bagus dalam berdagang memerlukan kerja keras. Jika anda tidak menipu diri sendiri kononnya anda akan dapat keuntungan menggunung dalam masa yang singkat, anda akan melindungi diri sendiri dari kekecewaan dan akan mampu untuk fokus kepada matlamat. Ingat, Thomas Edison melakukan 2,999 eksperimen sebelum berjaya menemui cara membuat mentol elektrik.
Meredakan tekanan. Ambil sedikit masa untuk berehat dari berdagang dan sibukkan diri dengan perkara lain. Jalani hidup yang sihat dengan bersukan, atau sekurang-kurangnya rajinkan diri berjalan kaki selalu dan makan makanan yang senonoh. Luangkan masa bersama keluarga dan sahabat handai anda. Semua ini akan membantu anda untuk bersantai dan akan memberikan lebih kekuatan bila berdagang.
Cari rakan-rakan pedagang yang boleh diluahkan masalah dan kegusaran. Meluahkan keserabutan akan mententeramkan anda dan menghapuskan tekanan.
Sentiasa tambah ilmu tentang perdagangan dan pasaran Forex. Ambil kursus, baca buku dan artikel, belajar dari para profesional. Lebih banyak anda tahu, secara psikologinya anda akan berasa lebih teguh.
Formula kemenangan dari Linda Raschke
Jurulatih perdagangan terkenal, Lind Raschke, di dalam bukunya "Teknik perdagangan profesional" telah memperkenalkan formula untuk perdagangan yang berjaya.
Jadi, untuk perolehan yang lebih banyak di dalam Forex:
- Semangat – anda perlu memiliki daya dorongan yang memotivasikan diri untuk berjaya.
- Keyakinan – anda harus percaya anda boleh mencapai impian anda.
- 'Game Plan' – anda harus ada strategi atau perancangan perniagaan untuk mencapai matlamat. Keadaan tidak terurus dan kurangnya persiapan adalah penyebab utama dagangan yang gagal.
- Integriti – anda harus membina satu sistem nilai anda sendiri.
- Komitmen – anda harus ingat bahawa komitmen mendatangkan satu sumber tenaga dalaman yang sangat hebat di dalam diri kita. Ia memberikan kita tenaga untuk terus maju ke hadapan setiap hari, walaupun tiada kemajuan yang boleh dilihat.
Mula berdagang
2022-11-15 • Dikemaskini
Artikel-artikel lain di bahagian ini
- Fibonacci Fan
- Perluasan Fibonacci
- Cara Menggunakan Pengunduran Fibonacci
- Pola-pola candlestick penyongsangan
- Pola-pola candlestick penerusan
- Bagaimanakah cara menangani hingar pasaran?
- Cara-cara membuat ujian backtest strategi perdagangan
- Osilator Gator
- Market Facilitation Index
- Osilator Awesome
- Julat (Ranges)
- Alligator
- Teori Bill Williams
- Fraktal
- Pola Carta
- Menyngkap indikator Gann
- Bagaimanakah caranya membina strategi perdagangan anda sendiri?
- Pola-pola Candlestick
- Perdagangan Trend
- Perdagangan Bawa Ke Hadapan (Carry Trade)
- Perdagangan Swing
- Perdagangan Posisi (Position Trading)
- Perdagangan Harian (Day Trading)
- Scalping
- Apakah itu perkakas Fibonacci?
- Cara mengenal pasti penyongsangan pasaran
- Candlestick Jepun
- Trend