Bagaimanakah Kemelesetan Mempengaruhi Pasaran Kewangan?
Ekonomi tidak pernah bergerak dalam satu garisan lurus. Ahli ekonomi mengaitkan bahawa pembangunan ekonomi sangat dipengaruhi oleh kitaran naik dan turun. Kemelesetan dianggap sebagai perkara yang tidak dapat dielakkan dalam kitaran perniagaan. Kemelesetan berlaku apabila KDNK suku tahunan menurun sebanyak dua kali atau lebih secara berturut-turut. Tambahan lagi, ia biasanya diikuti dengan peningkatan pengangguran, penurunan jualan runcit serta penguncupan indeks pendapatan dan pembuatan.
Hari ini, hampir semua CEO AS sedang bersiap sedia untuk menghadapi kemelesetan, dan kebanyakan ahli ekonomi percaya kemerosotan ekonomi akan berlaku tidak lama lagi. Ini disebabkan terdapatnya kenaikan kadar faedah, yang dicetuskan oleh lonjakan inflasi, sekatan pertumbuhan yang diakibatkan oleh kenaikan kos kad kredit, gadai janji, pembelian kereta, pinjaman perniagaan, dan sebarang pinjaman yang memacu ekonomi. Kali terakhir Fed menyebabkan kesakitan ekonomi seperti ini dalam tempoh 12 bulan adalah pada tahun 1980, yang telah mengakibatkan kemelesetan ekonomi yang teruk.
Di negara-negara Eropah, keadaan adalah lebih buruk, ini disebabkan oleh selain daripada kadar yang tinggi, ekonomi Eropah juga bergelut dengan kenaikan harga gas menjelang musim sejuk. Memandangkan perusahaan mengambil tindakan untuk mengurangkan perbelanjaan gas, kesannya aktiviti ekonomi menjadi semakin perlahan.
Berapa lamakah kemelesetan berlangsung?
Dari 1854 hingga 1919, kemelesetan secara purata akan berlarutan selama 21.6 bulan. Walau bagaimanapun, semakin lama tempoh kemelesetan telah menjadi semakin pendek. Menurut data The National Bureau of Economic Research (NBER), dari 1945 hingga 2009, purata tempoh kemelesetan di AS berlangsung selama 11 bulan. Sepanjang 30 tahun yang lalu, AS telah menempuh empat tempoh kemelesetan. Mari kita lihat satu persatu.
Kemelesetan akibat Covid-19
Kemelesetan terbaru ini bermula pada Februari 2020 dan berlangsung hanya dua bulan, menjadikannya kemelesetan AS yang terpendek dalam sejarah.
The Great Recession (Disember 2007 hingga Jun 2009)
Gelembung dalam pasaran hartanah adalah sebahagian daripada faktor yang menyebabkan The Great Recession. The Great Recession tidaklah seteruk The Great Depression. Walau bagaimanapun, tempohnya yang panjang dan kesan yang teruk telah menyebabkan ia digelar dengan nama yang serupa. Berlangsung selama 18 bulan, tempoh The Great Recession adalah hampir dua kali ganda lebih lama berbanding tempoh kemelesetan AS yang berlaku baru-baru ini.
Kemelesetan Dotcom (Mac 2001 hingga November 2001)
Pada awal tahun 2000-an, AS menghadapi beberapa masalah ekonomi utama, termasuk kemusnahan gelembung teknologi dan skandal perakaunan di syarikat seperti Enron, yang diburukkan lagi oleh serangan pengganas 9/11. Disebabkan oleh gabungan permasalahan ini, ia telah menyebabkan kemelesetan singkat, dimana ekonomi telah kembali pulih dengan cepat.
Kemelesetan Perang Teluk (Julai 1990 hingga Mac 1991)
Pada awal 1990-an, AS telah melalui tempoh kemelesetan yang singkat iaitu selama lapan bulan yang sebahagiannya disebabkan oleh kenaikan harga minyak semasa Perang Teluk Pertama.
Bolehkah anda meramalkan kemelesetan?
Memandangkan ramalan ekonomi adalah tidak tepat, meramalkan kemelesetan masa depan bukanlah kerja yang mudah. Sebagai contoh, COVID-19 telah muncul entah dari mana pada awal tahun 2020 dan dalam beberapa bulan sahaja ekonomi AS telah ditutup dan berjuta-juta pekerja telah kehilangan pekerjaan.
Keluk hasil terbalik (inverted yield curve)
Keluk hasil ialah carta yang memplotkan hasil beberapa bon kerajaan AS, daripada bon dengan tempoh empat bulan sehingga bon dengan tempoh 30 tahun. Apabila ekonomi berfungsi secara normal, hasil bon jangka panjang sepatutnya melebihi hasil bon jangka pendek. Disebabkan itu, pelabur bimbang tentang kemelesetan apabila hasil jangka panjang lebih rendah daripada hasil jangka pendek. Fenomena ini dikenali sebagai penyongsangan keluk hasil, dan kemelesetan lepas diramalkan berdasarkan keluk ini.
Penurunan keyakinan pengguna
Perbelanjaan pengguna adalah pemacu utama ekonomi AS. Apabila keyakinan pengguna menurun, ini bermakna orang ramai tidak berasa yakin untuk membelanjakan wang dan ekonomi menjadi perlahan. Jika tinjauan menunjukkan kejatuhan dalam keyakinan pengguna berterusan, ia boleh menjadi petanda masalah yang akan melanda ekonomi.
Pasaran saham merosot secara tiba-tiba
Penurunan ketara dalam pasaran saham boleh menandakan kemelesetan apabila pelabur menjual sekuriti tersebut bagi mendapatkan wang tunai lantaran jangkaan mereka bahawa kelembapan ekonomi akan berlaku.
Peningkatan pengangguran
Jika orang ramai mula kehilangan pekerjaan, ini adalah petanda yang buruk bagi ekonomi. Kehilangan pekerjaan teruk yang berlaku selama beberapa bulan memberi amaran tentang kemelesetan yang akan berlaku, ini jelas walaupun NBER masih belum mengisytiharkan kemelesetan.
Bagaimanakah prestasi aset semasa kemelesetan?
Tidak seperti pelabur, pedagang tidak takut akan kemelesetan ekonomi kerana mereka boleh memperoleh pendapatan dengan berdagang dalam kedua-dua arah, iaitu long dan short. Walau bagaimanapun, amat penting untuk pedagang memahami tingkah laku aset semasa kemelesetan bagi membuat pilihan yang tepat.
Kemelesetan ekonomi membunuh minyak
Mengikut sejarah, kenaikan harga minyak membawa kepada inflasi masa depan yang lebih besar dan begitu juga sebaliknya. Perbelanjaan bahan api tenaga, yang juga berkait dengan harga pengangkutan dan makanan, mempunyai kesan yang begitu besar terhadap barangan pengguna.
Apabila kemelesetan berlaku, pengguna akan mengurangkan pembelian, jadi pengeluar juga mengurangkan perbelanjaan mereka. Permintaan untuk tenaga akan menurun dan harga minyak juga turun dengan ketara. Oleh itu, pedagang minyak perlu memerhatikan perbelanjaan pengguna dengan teliti untuk meramalkan penurunan harga minyak.
Emas
Pada masa lalu, harga emas dan kemelesetan mempunyai hubungan songsang. Apabila ekonomi melemah, biasanya harga emas akan naik. Semasa tiga kemelesetan yang lepas, iaitu pada 2020, 2007 dan 2001, harga emas meningkat manakala nilai S&P 500 menurun.
Ia berlaku kerana, sejak dua dekad lalu, bank pusat telah menyokong ekonomi dengan pengurangan kadar utama dan pelonggaran kuantitatif (pembelian hutang luar negara) semasa kemelesetan yang menyebabkan pertumbuhan inflasi global.
Kali ini juga tidak terkecuali, terutamanya menjelang pilihan raya presiden AS 2024. Pasaran saham biasanya mengikut indikator bekalan wang M2. Dalam erti kata lain, Rizab Persekutuan (Fed) perlu mencetak lebih banyak wang bagi membantu merancakkan saham dan ekonomi.
Oleh itu, nilai emas berkemungkinan besar akan meningkat dalam jangka masa panjang. Masa yang terbaik untuk pembelian emas adalah semasa kemelesetan ekonomi yang melampau iaitu apabila bank pusat menyongsangkan polisi mereka dan mula menyokong ekonomi dengan kadar faedah yang rendah dan bekalan wang tambahan. Pada saat seperti itu, wang besar membeli logam kuning dan harganya akan meningkat.
Saham & Kripto
Kemelesetan memberi kesan yang berbeza terhadap saham yang berbeza, bergantung pada jenis syarikat. Sesetengah syarikat seperti utiliti, penjagaan kesihatan dan keperluan asas pengguna cenderung untuk kekal stabil semasa kemelesetan. Syarikat yang mempunyai hutang yang besar, seperti syarikat pelancongan dan teknologi, selain dari syarikat perindustrian, akan cenderung untuk berprestasi rendah di pasaran.
Pasaran matawang kripto adalah sektor yang muda. Oleh itu, kebanyakan projeknya mempunyai hutang yang tinggi. Akibatnya, pelabur memilih untuk menyingkirkan kripto apabila kemelesetan bermula dan kembali apabila ekonomi mula berkembang.
Sebaliknya, sektor yang berprestasi rendah semasa kemelesetan ekonomi akan menunjukkan prestasi yang baik semasa pemulihan pasca kemelesetan. Contohnya termasuk sektor kewangan, hartanah, budi bicara pengguna, perindustrian dan bahan.
Anda boleh berdagang dengan pasaran yang bertambah meruap lantaran kemelesetan dengan membuka akaun perdagangan dan membuka posisi CFD. Ini adalah derivatif kewangan, yang membolehkan anda berspekulasi mengenai pasaran yang semakin berkembang dengan melakukan perdagangan long, dan juga pada pasaran yang merosot dengan perdagangan short.
Matawang
Semasa kemelesetan, aktiviti perniagaan sesebuah negara jatuh dan ekonomi menjadi perlahan. Akibatnya, matawang negara itu mungkin jatuh kerana negara itu menjadi destinasi pelaburan yang kurang menarik.
Walau bagaimanapun, oleh kerana ekonomi negara-negara ekonomi utama saling terkait, kemelesetan tidak hanya berlaku di satu negara tertentu tetapi merambat ke semua negara tersebut. Dalam kes ini, matawang negara yang mempunyai imbangan dagangan paling stabil dan sejumlah besar aset mata wang asing (supaya negara tersebut boleh menjual aset asing dan membawa pulang wang ke negara asal apabila kemeruapan meningkat) mendapat manfaat berbanding yang lain.
Sehingga hari ini, dolar AS (USD), bersama-sama dengan franc Swiss (CHF), dianggap sebagai mata wang selamat.
USD
Jika dolar AS lebih kuat berbanding matawang dengan hasil bon yang lebih tinggi, ini bermakna pasaran mungkin tidak berpuas hati dengan data atau berita ekonomi terbaru yang dikeluarkan. Dalam kes ini, pelabur asing akan membeli Perbendaharaan AS sebagai pilihan yang selamat. Untuk membelinya, mereka perlu membeli USD. Apabila ramai pelabur melakukan ini pada masa yang sama, nilai USD akan meningkat.
Franc Swiss
Franc Swiss ialah matawang lain yang dianggap sebagai matawang selamat. Kestabilan politik, dasar monetari yang konservatif dan ekonomi yang stabil menjadikan CHF sebagai mata wang yang stabil yang dapat menarik pelabur antarabangsa semasa krisis.
Walaupun menghadapi banyak krisis dalam pasaran kewangan global, Switzerland sentiasa berjaya bertahan tanpa berdepan dengan banyak masalah.
Jika ekonomi Eropah menghadapi kemelesetan, Swiss franc (CHF) berkemungkinan akan menguat berbanding mata wang Eropah dengan hasil yang lebih tinggi.
Cara untuk berdagang dalam kemelesetan
Berdagang short untuk merebut peluang dalam pasaran yang merosot
Berdagang short adalah cara untuk merebut peluang dalam pasaran yang sedang jatuh. Ramai pedagang menggunakan derivatif kewangan seperti CFD untuk menjual aset. Instrumen ini membolehkan pedagang membuka posisi yang spekulatif dengan pergerakan harga aset tanpa perlu memiliki aset itu sendiri.
Aset yang terbaik untuk perdagangan short semasa kemelesetan adalah:
- Saham pelancongan, perindustrian, teknologi dan matawang kripto. Pelabur menjual aset dan projek yang berisiko dengan hutang yang tinggi, jadi harganya jatuh.
- Minyak (Brent, WTI). Apabila aktiviti perniagaan meningkat, permintaan minyak juga meningkat, mendorong harga naik lebih tinggi. Sebaliknya, semasa kemelesetan harga komoditi cenderung turun.
- Mata wang dengan hasil yang tinggi (AUD, GBP) berbanding mata wang selamat (USD, CHF). Pelabur akan beralih daripada mencari pendapatan yang lebih tinggi kepada mencari perlindungan yang akan membantu mereka mengekalkan nilai modal mereka. Akibatnya, mata wang dengan hasil yang lebih tinggi akan merosot.
Berdagang long ketika pasaran sedang pulih
Berdagang long semasa kemelesetan ekonomi mungkin berisiko. Itulah sebabnya pedagang dan pelabur akan menunggu lantunan awal semasa banyak aset mencapai tahap minimumnya. Kemudian mereka mula membeli pada tahap ini untuk cuba mendapatkan keuntungan maksimum daripada pemulihan pasca kemelesetan.
Aset terbaik untuk perdagangan long semasa pemulihan ekonomi adalah:
- Emas. Kerajaan kembali kepada dasar monetari ultra-dovish, mencetak wang dan membeli aset menggunakan baki mereka dan mewujudkan risiko kenaikan inflasi pada masa hadapan. Prospek inflasi yang tinggi menjadikan harga emas semakin menarik.
- Saham pelancongan, perindustrian, teknologi dan matawang kripto. Aset-aset ini menjadi murah dan seterusnya menarik minat pelabur jangka panjang.
- Minyak (Brent, WTI). Apabila aktiviti perniagaan meningkat, permintaan minyak juga meningkat, mendorong harga menjadi lebih tinggi.
- Matawang pulangan tinggi (AUD, GBP) berbanding matawang selamat (USD, CHF). Pelabur kembali kepada sentimen berisiko dan membeli bon yang memberikan pulangan lebih tinggi. Permintaan untuk matawang negara-negara ini juga akan meningkat.
Kesimpulan
Kemelesetan ekonomi mewujudkan banyak peluang untuk pedagang dan juga pelabur. Dengan peluang untuk berdagang long dan short (cthnya. membuka urusniaga beli dan jual), pedagang boleh meningkatkan modal mereka dengan ketara dengan kemeruapan yang tinggi. Pada masa yang sama, pelabur boleh membeli aset yang diingini pada harga yang rendah.
Untuk berjaya, anda perlu memahami punca kemelesetan dan cara yang berkemungkinan diambil oleh kerajaan bagi menyelesaikan masalah tersebut (selalunya, ini adalah dasar monetari ultra-lemah). Dengan FBS, anda boleh memperoleh hasil daripada penjualan saham, matawang kripto dan minyak semasa kemelesetan. Selain itu, anda boleh mengembangkan modal anda dengan membeli emas dan aset lain ketika ekonomi kembali berkembang.