Pro dan Kontra indikator-indikator dan analisis teknikal
Perdagangan Forex – satu ekosistem yang terdiri dari sebilangan broker, pedagang, dan semua aliran informasi di antara mereka – wujud hasil dari motivasi untuk menjana pendapatan. Perkara paling penting untuk membolehkan wang diperolehi adalah untuk mengunjurkan pergerakan pasaran dengan betul. Di sinilah terletaknya satu persoalan yang menjadi dilema: apakah ada cara untuk sentiasa meramal pasaran dengan betul? Jawapannya adalah "tidak", kerana soalan ini secara semantiknya sama seperti meramalkan masa hadapan. Tiada siapa boleh melakukannya, walaupun sekali-sekala ada orang yang mengaku telah mencipta instrumen yang 100% andal untuk mengetahui apakah yang akan berlaku seterusnya.
Bagaimana pun, beberapa pendekatan dan metodologi telah terbukti menjadi sumber ramalan tepat yang andal secara relatif. Analisis teknikal dan indikator-indikatornya adalah antara metodologi tersebut. Mari kita lihat dengan lebih meluas untuk memahami bagaimana ia boleh digunakan dengan lebih efektif.
Pro
Ketepatan matematikal
Selama beberapa generasi, profesional dari pelbagai disiplin akademik telah mengolah pelbagai model matematik, yang melahirkan pelbagai algoritma untuk mengunjur pergerakan pasaran di masa akan datang. Algoritma-algoritma ini membolehkan kita menetapkan pesanan pasaran (market orders), aras harga, renti rugi, dan pelbagai aras lain dengan kejituan 0.00001. Ini kemudiannya membuka jalan untuk scalping, perdagangan intra hari dan pelbagai pendekatan perdagangan yang lain di mana pedagang yang pintar boleh mengumpul kekayaan dengan memperdagangkan sen dalam sekelip mata.
Beraneka pilihan
Analisis fundamental memberikan hanya satu pendekatan: maklumat dari dunia nyata. Manakala indikator teknikal pula memberikan sungguh banyak pilihan. Indikator-indikator osilator, volum, trend, dsb. dan kombinasinya membolehkan kaedah yang dipilih dilaras suai sebanyak mana yang dirasakan perlu. Justeru itu, tidak perlu untuk memaksa diri untuk membiasakan diri dengan mana-mana cara mentafsir pasaran: pedagang boleh memilih seberapa banyak indikator yang beliau arif dan laras suai mereka untuk memberikan bacaan terbaik. Kepelbagaian pilihan ini membolehkan para pedagang memilih indikator yang mereka suka dan memformulakan satu strategi berdagang, di mana keputusan-keputusan "kecil" dibuat oleh indikator-indikator pilihan.
Tanpa emosi
Pasaran terdiri dari sejumlah manusia, manusia dipengaruhi emosi, harapan, dan nafsu. Sudah sering terjadi di mana pedagang menanggung kerugian lantaran dari harapan palsu yang mengharapkan berlakunya pembetulan di pasaran atau rasa panik bila ada berita yang tak diduga keluar. Angka tidak mempunyai perasaan, jadi ia tidak terpedaya dengan angan-angan serta tidak mengalami serangan jantung bila pasaran menjunam. Penggunaan indikator teknikal boleh menyaring elemen-elemen emosi dari mempengaruhi keputusan perdagangan dan membebaskan pedagang dari masalah psikologi.
Setakat ini, dari perspektif ini, pedagang mempunyai banyak instrumen yang memastikan beliau tenteram dan memastikan tiada cela dalam penilaian pasaran beliau. Namun bagi setiap kekuatan yang telah kami senaraikan, ada kelemahannya.
Kontra
Masa depan tidak diketahui dan ia terus-menerus melarikan diri
Semua kaedah matematikal dan statistikal mengambil data dari masa lalu dan mengunjurkannya ke masa hadapan. Peristiwa silam atau trend yang didigitalkan mustahil boleh mengandungi petunjuk yang 100% tepat tentang apa yang akan berlaku seterusnya. Inilah kelemahan fundamental pendekatan ini. Selain dari itu, walaupun dengan kebarangkalian yang paling tinggi yang dapat dicapai, semua indikator sentiasa bergerak lamban (langging behind) dari pergerakan semasa, padahal pasaran sentiasa hidup dan tidak akan berhenti untuk menunggu kita. Jadi indikator perlukan sedikit masa untuk memutuskan apa yang perlu ditunjuk di carta, seterusnya pedagang pula perlu sedikit masa untuk memutuskan apa yang beliau mahu lakukan dengan carta indikator ini. Di antara dua waktu ini, apa pun boleh terjadi di pasaran yang akan menjadikan interpretasi pasaran tadi menjadi tidak lagi sah.
Sesat dalam kesesakan
Mempunyai banyak pilihan boleh memakan diri: ia mencetus kekeliruan. Mungkin ada yang befikir, lebih banyak indikator yang anda gunakan, penilaian pasaran akan menjadi lebih andal. Ini tidak benar: indikator-indikator sering bercanggah antara satu sama lain dan menggunakan terlalu banyak indikator boleh mengelirukan walaupun untuk seorang profesional pasaran. Tambahan pula, untuk memilih satu-satu indikator, seseorang itu perlukan kefahaman yang mendalam mengenainya. Ada berdozen-dozen indikator disediakan di mana-mana platform perdagangan, sesetengahnya agak rumit.
Kurang kefahaman
Model matematikal mengira dan mengekstrapolasi, tetapi ia tidak memahami dunia yang ia cuba jelaskan. Ia tidak dapat merasai pasaran seperti yang boleh dilakukan sesetengah pemerhati berpengalaman. Adakalanya gerak hati satu-satunya cara untuk memahami dan membaca peristiwa yang berlaku, seterusnya meramalkan ke mana trend seterusnya. Jadi faktor kemanusiaan boleh menjadi kelebihan untuk pedagang dalam keadaan tertentu. Pengalaman dan keawasan adalah antara yang terpenting.
Peraturan am yang berkesan pada setiap kali
Walaupun terdapat kontroversi seperti yang dinyatakan di atas, ada beberapa peraturan/petua yang sudah terbukti berkesan setiap kalinya.
Pertama, jangan terlalu bergantung kepada satu indikator sahaja. Ingat, indikator hanyalah satu kebarangkalian. Tiada satu pun indikator yang sempurna, setiap satu mempunyai kelemahan. Sesetengahnya berfungsi lebih baik di rangka masa yang lebih tinggi, sesetengah lebih baik di waktu-waktu tertentu di pasaran, dan sesetengahnya pula tidak efektif di kebanyakan masa. Jadi anda perlu mempunyai beberapa instrumen yang sesuai dengan strategi perdagangan anda dan gunakannya selalu untuk mencapai kesempurnaan.
Kedua, anda tidak boleh bergantung hanya kepada analisis fundamental atau teknikal. Indikator hilang ertinya tanpa pemahaman mendalam mengenai pasaran. Jadi anda perlu membaca berita selalu untuk kekal awas dengan apa yang sedang berlaku di dunia sebenar, ini akan membantu anda memahami dan meramalkan tindak-tanduk pasaran. Indikator dan berita akan saling melengkapi dan menjadikan pemerhatian anda lebih tepat dan sahih.
Ketiga, sentaisa terapkan satu dasar pengurusan risiko yang sihat. Ia bukan hanya tentang memasukkan renti rugi ke setiap pesanan dagangan anda. Ia tentang kewangan peribadi anda dan kedudukan perdagangan Forex dalam kewangan peribadi anda. Anda perlu uruskan pelaburan Forex anda dengan cermat, suapaya ia tidak mengganggu keseimbangan dalam sisi kewangan hidup anda, yang mana ia mampu memberi kesan psikologi secara negatif kepada anda. Indikator tidak akan menyelamatkan anda jika anda letak semua duit anda dalam perdagangan dan tidak ada baki yang tinggal untuk membayar bil-bil anda. Kira berapa banyak yang anda sanggup rugikan, berapa yang anda mampu laburkan, dan berapa yang anda benar-benar akan dapat berdasarkan tahap kemahiran dan pengalaman semasa anda.
Kesimpulan
Seperti yang kita boleh lihat, setiap kelebihan ada kelemahan disebaliknya. Setiap pedagang perlu membuat kajian mereka sendiri dan memutuskan indikator yang mana hendak digunakan dan yang mana boleh mereka andalkan bila membuat keputusan dalam perdagangan. Itu sendiri bergantung kepada karakter pedagang tersebut. Pengurusan risiko, perasaan yang terkawal, naluri atau pemikiran yang analitikal adalah antara faktor-faktor yang mempengaruhi pilihan ini.