Analisis VSA – apakah signal yang boleh diberikannya?
Jika anda sudah biasa dengan perdagangan, adna pasti tahu asas-asas analisis fundamental dan teknikal. Secara amnya, analisis fundamental menjawab soalan berkenaan Mengapa pasaran bergerak? dan analisis teknikal cuba mencari jawapan kepada soalan Bilakah harga akan bergerak? . Bagaimana pun, anda mungkin tidak tahu jenis analisis yang menggabungkan kedua-dua praktis fundamental dan teknikal. Pendekatan ini dipanggil VSA (Volume Spread Analysis) dan ia digunakan secara meluas oleh para pedagang saham. Di sini kami akan menjelaskan kepada anda bagaimana VSA boleh digunakan dalam perdagangan Forex.
Apakah itu VSA?
VSA dicipta oleh Richard D. Wyckoff yang mula berdagang saham pada usia 15 tahun. Di akhir kurun ke-XX, Tom Williams telah melanjutkan kajian Wyckoff dan telah membangunkan methodologi beliau sendiri. Di dalam buku beliau yang bertajuk Master the Markets beliau menyebutkan tentang pentingnya perbezaan harga (spread) dikaitkan dengan volum dan harga penutupan.
Jadi VSA itu tentang apa sebenarnya? Volume Spread Analysis adalah sejenis analisis yang berasaskan kepada volum dan spread candlestick. Ia cuba untuk mencari perbezaan antara permintaan dan penawaran, yang dicetuskan oleh aksi pemain-pemain besar di pasaran Forex (para pedagang profesional, institusi, bank-bank, dan market makers ). Jika anda tahu bagaimana untuk membaca tindak-tanduk mereka, ia mungkin memberikan anda signal yang bagus untuk memasuki pasaran.
Unsur-unsur VSA
Anda perlu menentukan 3 pembolehubah utama untuk mencari imbangan antara permintaan dan penawaran. Ia adalah:
- Kuantiti volum bagi satu-satu bar harga;
- Harga tertinggi dan terendah bagi suatu bar harga (julat harga);
- Harga penutupan.
Volum biasanya diambil ringan oleh newbies, bagaimana pun, ia adalah elemen penting analisis pasaran. Volum menunjukkan amaun transaksi manakala julat harga menunjukkan pergerakan yang terkait dengan volum tersebut.
Berdasarkan kepada unsur-unsur ini, pedagang boleh memahami fasa semasa pasaran. Menurut En. Wyckoff, kita boleh mengenal pasti empat fasa ini:
- Accumulation (peserta-peserta profesional di pasaran membeli pada harga borong sewaktu keadaan terlebih jual);
- Mark-Up (pergerakan bullish);
- Distribution (peserta-peserta profesional di pasaran menjual pada harga runcit sewaktu keadaan terlebih beli);
- Mark-Down (pergerakan bearish).
Seperti yang kita tahu, Richard D. Wyckoff menggunakan analisis ini untuk mendagangkan saham, tetapi bagaimana pedagang Forex boleh mempraktikkannya? Mari kita cari tahu.
VSA untuk pedagang Forex
Ada banyak perdebatan di kalangan para pedagang sama ada VSA boleh digunakan dalam pasaran Forex. Sebabnya adalah kerana pasaran Forex itu terpencar (decentralized). Natijahnya, volum sebenar tidak boleh didapati. Bagaimana pun, anda boleh analisa pasaran dengan melihat pada volum yang dicerap di setiap bar.
Di MT4, Anda hanya perlu klik kanan pada carta dan tekan Volumes untuk melihatnya. Selain itu, anda juga boleh tekan Ctrl+L pada papan kekunci anda.
Model klasik analisis VSA
Ada banyak interpretasi VSA yang berbeza yang menjadikannya sukar untuk pedagang pemula memahaminya. Di sini, kami akan memperkenalkan anda kepada beberapa model VSA yang paling lazim digunakan menurut Tom Williams, dan ini harapnya dapat membantu anda berdagang bersama dengan para pemain profesional.
Tanda-tanda kekuatan dengan candlestick bullish
Model #1 – bar bullish dengan saiz yang normal. Harga ditutup hampir dengan harga tertinggi. Volum lebih tinggi dari purata 15-20 hari, dan yang paling penting sekali ia lebih tinggi dari bar sebelumnya.
Model ini menunjukkan bahawa permintaan semakin meningkat dan kenaikan akan berterusan.
Model #2 – Candlestick bullish/bearish (bullish memberikan signal yang lebih kuat). Ia mentakrif semula harga minimum ke paras baru. Saiznya lebih besar dari biasa. Harga penutup terletak hampir dengan harga tinggi. Volum tinggi. Model ini memberi isyarat kebarangkalian berlakunya pembalikan.
Model #3 – Candlestick bullish/bearish (bullish memberikan signal yang lebih kuat). Ia mentakrif semula harga minimum ke paras baru. Saiz candlestick besar dan harga tutup terletak dekat dengan harga tertinggi. Volume rendah. Ia menunjukkan pemain-pemain profesional tidak menyokong pasaran bearish lagi.
Tanda-tanda kekuatan dengan candlestick bearish
Model #1 – Saiz kecil pada candlestick. Harga penutupan terletak dekat dengan harga tinggi. Volum tinggi.
Pemain-pemain besar pasaran menyediakan semua bekalan. Bears tidak mempunyai cukup kekuatan untuk mengatasi harga pembukaan.
Model #2 – Candlestick bearish. Ia mempunyai saiz yang kecil dan volum yang rendah. Harga penutupan terletak dekat dengan harga terendah.
Model ini menunjukkan ketiadaan penjual di pasaran.
Tanda-tanda kelemahan (kelesuan)
Model #1 – Bar bullish. Saiznya kecil. Harga penutupan dekat dengan harga terendah candlestick. Volum tinggi. Terjadi ketika uptrend.
Ini adalah tanda tekanan penjualan yang tinggi.
Model #2 – Bar bullish, saiz kecil, volum rendah atau sangat rendah. Terjadi ketika downtrend.
Model ini memberi isyarat kemungkinan berakhirnya pembetulan (correction) sewaktu downtrend.
Tom William telah menyenaraikan lebih banyak contoh, tetapi jangan ikut secara buta-buta dan semak dua kali sebelum membuat keputusan perdagangan.
Kesimpulan
Volume Spread Analysis membantu kita memahami tindak-tanduk pasaran, berdasarkan kepada volum dan analisis candlestick. Namun, anda perlu aplikasikan analisis ini dengan sangat berhati-hati dan ambil kira semua pembolehubah.