• 9 July 2024
  • Asas

Apa Itu Pelaburan ESG?

1.png

Pengenalan

Pelaburan Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG - Enviromental, Social, Governance) semakin menonjol dalam landskap kewangan, terutamanya dalam komuniti perdagangan forex, kerana kini pelabur semakin giat mengambil kira bukan sahaja pulangan kewangan tetapi juga pertimbangan etika. Pelaburan ESG menumpukan fokus mereka kepada sekuriti yang memenuhi kriteria tertentu yang berkaitan dengan perlindungan alam sekitar, tanggungjawab sosial, dan tadbir urus syarikat. Dengan mengintegrasikan faktor-faktor ESG ke dalam keputusan pelaburan, pedagang dan pelabur boleh menguruskan risiko dan menjana pulangan jangka panjang yang lestari.

Bagaimana Pelaburan ESG Berfungsi

Pelaburan ESG bukan sekadar memilih saham atau dana yang kelihatan mesra alam atau beretika. Ia melibatkan proses penilaian syarikat yang ketat berdasarkan kriteria tertentu yang mengukur komitmen mereka terhadap kelestarian alam sekitar, tanggungjawab sosial, dan tadbir urus. Proses ini semakin giat diintegrasikan ke dalam strategi perdagangan forex, di mana pelabur boleh memanfaatkan metrik ESG untuk membuat keputusan yang tepat.

  1. Kriteria Alam Sekitar: Ini melibatkan penilaian prestasi syarikat sebagai pengelola alam sekitar. Pelabur melihat aspek penggunaan tenaga, pengurusan sisa buangan, kadar pencemaran, pemuliharaan sumber semula jadi, dan kebajikan haiwan sesebuah syarikat. Kriteria alam sekitar juga akan mempertimbangkan sebarang risiko alam sekitar yang mungkin dihadapi oleh syarikat dan bagaimana syarikat menguruskan risiko tersebut.

  2. Kriteria Sosial: Ini mengkaji bagaimana syarikat mengurus hubungannya dengan pekerja, pembekal, pelanggan, dan komuniti di tempat ia beroperasi. Ia termasuk pertimbangan seperti amalan buruh syarikat, keselamatan produk, amalan perlindungan data, dan impak kemasyarakatan secara keseluruhan. Hak asasi manusia, buruh kanak-kanak, keselamatan di tempat kerja, dan pembangunan masyarakat adalah kriteria sosial yang penting.

  3. Kriteria Tadbir Urus: Pelabur menilai tadbir urus dengan meneliti kepimpinan syarikat, gaji eksekutif, audit, kawalan dalaman, dan hak pemegang saham. Pengurusan yang baik dapat mengurangkan rasuah, meningkatkan reputasi syarikat, dan menjadikannya lebih lestari dalam jangka panjang. Ini termasuk menilai aspek seperti kepelbagaian dalam lembaga pengarah, imbuhan eksekutif, dan ketelusan dalam kaedah perakaunan.

Metrik ESG

Metrik ESG memberikan kita ukuran kuantitatif untuk menilai sejauh mana sesebuah syarikat menepati kriteria ESG, yang mampu mempengaruhi keputusan pelaburan dalam perdagangan forex dengan ketara. Metrik ini penting bagi pelabur untuk menentukan impak kelestarian dan etika pelaburan mereka, memastikan ia menyumbang kepada impak sosial dan alam sekitar yang positif di samping berpotensi meningkatkan pulangan kewangan.

2.png

Jenis-jenis Metrik ESG Yang Kritikal

  • Alam sekitar: Ini termasuk pelepasan karbon, penggunaan tenaga, pengurusan sisa, dan penggunaan air — alat seperti Carbon Disclosure Project (CDP) memberikan rating kepada syarikat-syarikat berdasarkan tindakan dan ketelusan mereka berkaitan alam sekitar.

  • Sosial: Metrik di sini memberikan fokus pada budaya dan etika syarikat, seperti penglibatan pekerja, kepelbagaian dan keterangkuman, dan hubungan masyarakat. Amalan buruh, tanggungjawab produk, dan kadar kepuasan pelanggan juga dinilai.

  • Tadbir urus: Ini melibatkan penilaian kepimpinan syarikat, audit, komposisi lembaga pengarah, dan hak pemegang saham. Langkah-langkah pencegahan rasuah dan nisbah kepelbagaian lembaga pengarah adalah metrik tadbir urus yang tipikal.

Pelabur dan ESG

Peningkatan populariti pelaburan ESG mencerminkan perubahan prioriti pelabur individu dan institusi, yang semakin giat mengambil kira kesan kelestarian dan etika ke dalam strategi pelaburan mereka.

Pelabur institusi, seperti dana pencen, syarikat insurans, dan dana pelaburan, adalah penting dalam memacu agenda pelaburan ESG. Mereka semakin galak menuntut pengisytiharan ESG yang lebih baik kerana faktor-faktor ini boleh memberi kesan kepada prestasi kewangan dan profil risiko pelaburan mereka dengan ketara.

Pelabur individu juga beralih kepada pelaburan ESG untuk menyelaraskan portfolio mereka dengan kepercayaan etika mereka dan mengejar pulangan yang berpotensi lebih tinggi. Ramai pelabur runcit lebih menyukai syarikat yang mengutamakan kelestarian, percaya bahawa syarikat-syarikat ini lebih bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan dan akan lebih berdaya tahan dan menguntungkan dari masa ke masa.

Bagaimana Pelaburan ESG Berbeza Daripada Pelaburan Lestari?

ESG dan pelaburan lestari, walaupun sering digunakan secara sinonim, mengikuti garis panduan etika, alam sekitar, dan sosial yang berbeza untuk menyelaraskan pelaburan dengan nilai peribadi dan objektif kewangan jangka panjang.

Pelaburan ESG

Strategi ini menilai syarikat berdasarkan faktor alam sekitar, sosial, dan tadbir urus serta metrik kewangan tradisional. Ia memfokuskan kepada bagaimana faktor-faktor ini mempengaruhi prestasi kewangan dan termasuk menilai operasi syarikat dan pengurusan risiko, seperti pelepasan karbon, amalan buruh, dan tadbir urus korporat. Pelaburan ESG juga adakalanya menggunakan saringan negatif untuk mengecualikan syarikat yang gagal memenuhi standard tertentu.

Pelaburan Lestari

Lebih luas berbanding ESG, pendekatan ini mempertimbangkan kriteria ESG dan menyasarkan pelaburan dalam entiti yang mempunyai kesan alam sekitar atau sosial yang positif. Contohnya termasuk projek tenaga boleh diperbaharui atau syarikat yang mempelopori inovasi penjagaan kesihatan. Pelaburan lestari sering menggunakan saringan positif untuk memilih syarikat yang menyumbang kepada objektif kemasyarakatan atau alam sekitar.

Mengenai indikator prestasi, pelaburan ESG menumpukan perhatian kepada kesan kewangan faktor-faktor ESG. Sebaliknya, pelaburan lestari menilai kesan ketara pelaburan terhadap masyarakat atau alam sekitar, seperti mengurangkan kemiskinan atau meningkatkan akses kepada pendidikan.

Apakah Erti ESG Untuk Entiti Perniagaan?

Bagi perniagaan, menjunjung prinsip ESG lebih dari sekadar tanggungjawab korporat semata-mata — strategi asas yang memacu pertumbuhan mampan, meningkatkan reputasi jenama, dan menarik pelabur dan pelanggan. Dalam perdagangan forex, syarikat yang mempunyai komitmen ESG yang mantap dapat mempengaruhi persepsi pasaran dan kestabilan matawang dengan ketara.

Kriteria ESG membolehkan perniagaan mengenal pasti dan mengurus risiko yang boleh memberi kesan besar kepada kestabilan kewangan. Risiko alam sekitar seperti perubahan iklim boleh mengganggu operasi dan rantaian bekalan, manakala risiko sosial, seperti amalan buruh dan hubungan masyarakat, menjejaskan produktiviti pekerja dan kesetiaan jenama. Risiko tadbir urus, termasuk ketelusan dan penyimpangan etika, boleh membawa kepada cabaran undang-undang dan merosakkan reputasi.

3.png

Selain itu, syarikat yang mengintegrasikan prinsip ESG secara proaktif sering berinovasi, membangunkan produk yang mampan, dan mengamalkan proses yang cekap yang memenuhi perubahan selera pengguna. Ini bukan sahaja memberikan daya saing tetapi juga membuka pasaran baru.

Dari segi kewangan, profil ESG yang kukuh memudahkan akses kepada modal kerana pelabur semakin mencari syarikat yang komited kepada amalan lestari, dan ini sering membawa kepada kos pinjaman dan terma pelaburan yang menggalakkan. Selain itu, menguruskan faktor-faktor ESG secara berkesan meningkatkan nilai pemegang saham jangka panjang, dengan pelabur melihat amalan ESG yang kukuh sebagai indikator prestasi kewangan yang lebih baik dan kemeruapan yang lebih rendah.

Bagaimana Cara Mengatahui Pelaburan Apa Yang ESG?

Mengenal pasti pelaburan ESG memerlukan kefahaman tentang pelbagai alat, metrik, dan sumber yang ada untuk menilai kepatuhan ESG pada peluang-peluang pelaburan. Ini melibatkan usaha wajar (due diligence) dan menggunakan penarafan ESG yang boleh dipercayai daripada organisasi khusus untuk pedagang dan pelabur forex.

Penilaian dan Laporan ESG

  • MSCI, Sustainalytics, dan Morningstar memberikan penarafan berdasarkan amalan alam sekitar, tanggungjawab sosial, dan tadbir urus syarikat. Penarafan terdiri daripada "leader" (pematuhan yang tinggi) hingga "laggard" (pematuhan yang lemah), membantu pelabur menilai prestasi ESG.

  • Syarikat-syarikat menerbitkan laporan kelestarian yang memperincikan strategi, pencapaian, dan komitmen ESG mereka, menawarkan perspektif tentang usaha kelestarian mereka.

Pengesahan Pihak Ketiga

  • Audit pihak ketiga oleh juruaudit bebas mengesahkan ketepatan data dalam laporan kelestarian, meningkatkan kebolehpercayaan mereka.

  • Pensijilan seperti GRI, LEED, dan ISO 14001 menunjukkan kepatuhan ESG, menyediakan rangka kerja pengurusan dan pelaporan ESG.

Alat Saringan Pelaburan

  • Penyedia perkhidmatan kewangan menawarkan alat untuk menyaring pelaburan berdasarkan kriteria ESG, membantu pelabur membina portfolio yang selaras dengan etika.

  • Platform moden menampilkan robo-advisor yang mengkhusus dalam ESG, yang menggunakan algoritma untuk menguruskan pelaburan berdasarkan kriteria ESG, memudahkan proses ini bagi mereka yang tidak mempunyai kepakaran.

Intipati Perbincangan

Pelaburan ESG merupakan peralihan ke arah amalan pelaburan yang lestari dan beretika. Ia mempengaruhi perdagangan forex dengan mengaitkan prestasi ESG sesebuah negara dengan kestabilan matawangnya. Penyelidikan menunjukkan bahawa pelaburan ESG mengatasi pelaburan tradisional kerana pengurusan yang lebih baik dan pengurangan risiko. Pertumbuhan pelaburan ESG dijangka berterusan, meningkatkan ketersediaan data ESG dan memberi kesan kepada perdagangan forex dengan menawarkan wawasan tentang risiko negara dan kestabilan ekonomi.

Soalan Lazim

Bagaimana Skor ESG Dikira?

Skor ESG, yang penting untuk memahami tadbir urus sosial alam sekitar, diperoleh dengan menilai kepatuhan syarikat terhadap standard alam sekitar, sosial, dan tadbir urus. Penasihat dan firma membina skor ini menggunakan data daripada pelbagai sumber, termasuk laporan kelestarian dan pendedahan awam.

Mengapa Anda Perlu Memilih Pelaburan ESG?

Pelaburan ESG menawarkan manfaat berganda: penjajaran dengan nilai etika peribadi dan potensi pulangan kewangan yang kukuh. Syarikat yang mempunyai profil ESG yang kukuh selalunya lebih bersedia untuk mengurus risiko dan memanfaatkan peluang, meningkatkan keuntungan jangka panjang. Strategi pelaburan ini, yang memberi tumpuan kepada firma yang mengutamakan amalan lestari dan beretika, merayu kepada mereka yang mempertimbangkan kesan korporat terhadap faktor alam sekitar dan sosial.

Adakah ESG Kontroversial?

Perdebatan mengenai pelaburan ESG berkisar sekitar interpretasi subjektif terhadap amalan alam sekitar, sosial, dan tadbir urus yang baik. Pengkritik mempersoalkan kesan kriteria ESG terhadap pulangan pelaburan dan berpendapat ia boleh mempolitikkan keputusan pelaburan. Walau bagaimanapun, penyokong pelaburan ESG mengekalkan bahawa ia mengenal pasti risiko dan peluang penting yang diabaikan oleh analisis kewangan tradisional, menekankan manfaat jangka panjang kemampanan dalam perniagaan.

Bagaimana Anda Boleh Mencari Pelaburan ESG?

Pelabur yang ingin menggunakan strategi pelaburan ESG boleh berunding dengan penasihat dalam bidang ini atau merujuk firma yang menawarkan dana yang mengkhusus ESG. Pelbagai indeks saham kini menampilkan syarikat yang berfokus pada ESG, memudahkan akses yang lebih mudah kepada pelaburan ini.

Kesimpulan

Pelaburan ESG lebih daripada sekadar trend; ia aspek asas bagaimana individu dan institusi memperuntukkan modal mereka. Ia pendekatan yang komprehensif yang mempertimbangkan pulangan kewangan, kecaknaan alam sekitar, tanggungjawab sosial, dan kualiti tadbir urus. Bagi mereka yang berada dalam pasaran forex, mengintegrasikan pertimbangan ESG ke dalam strategi perdagangan adalah langkah ke arah pelaburan yang bertanggungjawab dan jalan untuk meningkatkan keuntungan dan pengurusan risiko.

Kongsi kepada rakan-rakan: