-
Apakah takrifan yang mudah bagi KDNK?
KDNK ialah indikator yang mengukur aktiviti ekonomi sesebuah negara dengan mengira jumlah harga semua barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan dan dijual di negara tersebut.
-
Negara manakah yang mempunyai KDNK tertinggi?
Pada masa ini, AS mempunyai KDNK tertinggi di dunia, diikuti oleh China dan Jepun.
-
Adakah KDNK yang tinggi baik?
KDNK yang tinggi bermaksud ekonomi berjalan dengan baik. Walau bagaimanapun, jika KDNK meningkat terlalu cepat, ia boleh menyebabkan inflasi dan kenaikan harga.
Gross Domestic Product
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Adalah
KDNK, atau keluaran dalam negara kasar, ialah indikator ekonomi yang mewakili jumlah nilai monetari kesemua barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan di negara tertentu dan dijual di pasaran. KDNK digunakan untuk mengukur pengeluaran domestik sesebuah negara yang berkait secara langsung dengan prestasi ekonomi secara keseluruhannya. KDNK kerap kali disebut sebagai kayu ukur output ekonomi tahunan, tetapi ia juga boleh digunakan untuk menghitung kemajuan ekonomi setiap suku tahun.
KDNK merangkumi semua produk yang dihasilkan dalam sesebuah negara, termasuk produk-produk yang bertujuan untuk kepenggunaan, pelaburan, dan juga penggantian aset. KDNK juga termasuk produk yang dikeluarkan di negara tersebut untuk firma-firma milik negara asing.
Sejarah KDNK
Percubaan yang pertama untuk melaksanakan indikator makro yang serupa dengan KDNK telah dibuat pada tahun 1700-an, tetapi Keluaran Dalam Negara Kasar moden telah dicadangkan oleh ahli ekonomi Amerika, Simon Kuznets, pada tahun 1934. Di tengah ledakan program-program kerajaan untuk mengatasi Kemelesetan Besar (Great Depression) dan menghadkan kesan-kesan negatifnya terhadap ekonomi, telah timbul satu keperluan untuk mengukur kejayaan usaha-usaha ini. Pada masa itulah Kuznets memperkenalkan idea untuk mengukur kesemua barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan di AS, tetapi hanya pada Persidangan Bretton Woods sepuluh tahun kemudian barulah KDNK AS diterima pakai secara rasmi.
Simon Kuznets mengambil masa yang begitu lama untuk membangunkan formula yang sempurna untuk menjadikan KDNK sebagai standard utama untuk mengukur prestasi ekonomi keseluruhan (KDNK meningkat vs. KDNK menurun), dan pada tahun-tahun berikutnya, negara-negara di seluruh dunia telah menerima pakai metrik tersebut. Usaha-usaha untuk menjadikan ia sempurna masih berterusan.
Jenis-jenis Keluaran Dalam Negara Kasar
KDNK tidak menawarkan pemahaman yang terperinci tentang pembangunan ekonomi sesebuah negara. KDNK itu sendiri hanya boleh menunjukkan sama ada ekonomi sedang berkembang atau tidak. Walau bagaimanapun, ia tidak banyak mendedahkan tentang taraf hidup di sesebuah negara atau sama ada pertumbuhan ekonomi boleh bersaing dengan peningkatan inflasi. Untuk menyediakan beberapa data beresolusi lebih tinggi, terdapat pelbagai sub jenis KDNK, serta indikator-indikator lain yang berkaitan yang menawarkan gambaran ekonomi yang berbeza.
KDNK Nominal
KDNK Nominal menilai prestasi ekonomi dan pengeluaran keseluruhan sesebuah negara dengan menggunakan harga-harga semasa, tanpa mengambil kira inflasi. Dengan tidak mengambil kira kenaikan harga, ini boleh menyebabkan indikator ini menunjukkan pertumbuhan yang lebih besar berbanding yang sebenarnya. Oleh sebab itu, KDNK nominal digunakan terutamanya untuk membandingkan pertumbuhan ekonomi pada suku-suku tahun yang berturutan. Metrik yang lebih baik untuk membandingkan keluaran antara tahun yang berbeza ialah KDNK sebenar.
KDNK Sebenar
KDNK sebenar digunakan untuk mengukur aktiviti ekonomi sesebuah negara pada tahun tertentu, dengan mengambil kira inflasi. Dalam KDNK nominal, inflasi boleh menjejaskan data dan menampakkan seolah-olah pengeluaran ekonomi sesebuah negara telah meningkat, namun pada hakikatnya ia mungkin masih sama atau telah menurun.
Dengan KDNK sebenar, ahli-ahli ekonomi memilih satu tahun asas dan melaraskan output tahun semasa berdasarkan paras harga pada tahun asas. Untuk mengira KDNK sebenar, ahli-ahli ekonomi menggunakan deflator harga KDNK: perbezaan antara harga tahun semasa dan tahun asas. Ini dapat membantu menyisih impak inflasi terhadap ekonomi daripada pengiraan, dan melihat prestasi ekonomi sebenar tahun demi tahun.
Keluaran Negara Bersih
Keluaran Dalam Negeri Bersih (KDNB) adalah satu lagi indikator ekonomi yang mengukur keluaran ekonomi sesebuah negara. Walau bagaimanapun, tidak seperti KDNK, ia mengambil kira kos-kos mengemas kini atau menggantikan alat, jentera, perumahan, kenderaan yang rosak dan perbelanjaan-perbelanjaan lain untuk memastikan pengeluaran yang berterusan.
KDNB dikira dengan menolak kos-kos ini (susut nilai) daripada KDNK keseluruhan. KDNB biasanya dilihat sebagai lebih terperinci kerana ia memberikan maklumat tentang sama ada prestasi ekonomi sesebuah negara boleh menampung sumber-sumber yang perlu dibelanjakannya untuk menyokong kadar pengeluaran semasa.
KDNK Potensi
Apabila ahli-ahli ekonomi perlu menganggarkan jumlah yang boleh dihasilkan oleh ekonomi jika ia menggunakan semua sumber yang ada pada tahap yang paling mampan, mereka mengira KDNK Potensi. KDNK Potensi digunakan sebagai penanda aras untuk membandingkan keluaran ekonomi semasa. Ini membolehkan ahli-ahli ekonomi melihat sama ada ekonomi sesebuah negara mengalami tahap permintaan dan penawaran yang lemah, atau jika permintaan agregat melebihi penawaran agregat, yang mungkin boleh menyebabkan inflasi. KDNK Potensi memberikan isyarat kepada para pembuat dasar tentang cara untuk meningkatkan keluaran ekonomi.
KDNK Per Kapita
Untuk melihat bagaimana prestasi ekonomi semasa berkait dengan populasi sesebuah negara, ahli-ahli ekonomi mengira KDNK per kapita. Indikator ini diukur dengan membahagikan jumlah KDNK sesebuah negara (nominal atau sebenar, bergantung kepada objektif kajian) dengan jumlah penduduknya.
Ini menunjukkan berapa banyak nilai pengeluaran ekonomi negara boleh dikaitkan dengan seorang individu warganegara. Metrik ini boleh digunakan selanjutnya untuk menentukan kekayaan nasional negara tersebut, purata pendapatan per kapita, produktiviti kerja, dan juga taraf hidup.
Kadar Pertumbuhan KDNK
Kadar pertumbuhan KDNK mengukur bagaimana KDNK sesebuah negara berubah berbanding tempoh masa yang sebelumnya. Ini membantu ahli-ahli ekonomi dan para penggubal dasar untuk memahami kadar pertumbuhan ekonomi dan sama ada terdapat perkara yang perlu dibimbangkan.
Jika kadar pertumbuhan KDNK menunjukkan bahawa ekonomi berkembang secara tidak seimbang dengan pantas, ini mungkin menunjukkan inflasi yang akan berlaku. Sebaliknya, jika pertumbuhan KDNK perlahan atau negatif, pihak berkuasa mungkin perlu merangsang ekonomi sebelum ia ditelan kemelesetan.
Pariti Kuasa Beli
Pariti kuasa beli (Purchasing power parity, PPP) adalah indikator yang digunakan untuk membandingkan prestasi ekonomi antara negara-negara yang berbeza. Untuk mengira PPP, ahli-ahli ekonomi membandingkan harga sebakul barangan tertentu dengan menukarnya kepada satu matawang. PPP ialah nisbah harga-harga tersebut. Metrik ini membolehkan ahli-ahli ekonomi menganalisis perbezaan antara keluaran ekonomi dan taraf hidup negara-negara yang berbeza.
Cara Mengira KDNK
Terdapat tiga pendekatan untuk mengira KDNK.
- Pendekatan berdasarkan pendapatan mengukur KDNK dengan memfaktorkan jumlah pendapatan negara (upah, sewa, faedah, dan jenis keuntungan lain) dan cukai jualan, serta susut nilai aset dan pendapatan faktor asing bersih (perbezaan antara jumlah pendapatan yang dijana oleh semua rakyat, termasuk di luar negara, dan pendapatan yang diperolehi hanya dalam negara).
- Pendekatan berdasarkan perbelanjaan memfokuskan pada perbelanjaan yang dikira bagi semua peserta dalam ekonomi. Ini termasuk perbelanjaan pengguna, perbelanjaan kerajaan, pelaburan dan eksport bersih (perbezaan antara jumlah eksport dan jumlah import sesebuah negara).
- Pendekatan berdasarkan pengeluaran melibatkan pengiraan jumlah nilai keluaran ekonomi sesebuah negara pada masa pengeluaran, kemudian menolak barangan perantaraan (bahan dan sumber) yang digunakan dalam proses pengeluaran.
Cara Menggunakan Keluaran Dalam Negara Kasar
KDNK digunakan terutamanya untuk mengukur prestasi ekonomi sesebuah negara. Walau bagaimanapun, data yang disediakan oleh KDNK mempunyai banyak aplikasi yang praktikal termasuklah yang menjangkau di luar daripada skop ekonomi.
- KDNK boleh membantu kerajaan dan para penggubal dasar menganalisis keadaan semasa ekonomi dan halaju wang, meramalkan kecenderungan masa depan dan membuat perubahan kepada dasar monetari negara untuk mempengaruhi trajektori pembangunan ekonomi.
- KDNK adalah sumber maklumat yang berguna untuk para peniaga. Dengan mengetahui tentang kesihatan dan kadar pertumbuhan ekonomi semasa, mereka boleh menyesuaikan strategi perniagaan mereka untuk mengimbangi halangan-halangan yang boleh menggalang.
- Data KDNK boleh menyediakan sumber maklumat untuk para pedagang dan pelabur. Jika KDNK menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang pesat, para pedagang boleh menjangkakan kadar faedah juga akan meningkat, yang seterusnya akan menyebabkan kenaikan matawang dan menyediakan lebih banyak peluang perdagangan untuk para pedagang Forex yang berminat dengan matawang tertinggi di dunia. Sebaliknya, ekonomi yang lemah mungkin membawa kepada penurunan kadar faedah dan akibatnya, penurunan nilai matawang.
Kelemahan KDNK
Walaupun KDNK adalah metrik muktamad untuk keluaran ekonomi, ia mempunyai beberapa kelemahan.
- KDNK tidak mengambil kira aktiviti-aktiviti ekonomi yang tidak direkodkan yang boleh menyumbang kepada prestasi ekonomi keseluruhan sesebuah negara dengan ketara, seperti kerja sukarela atau tidak rasmi.
- KDNK tidak mengambil kira kebajikan atau kesejahteraan penduduk, yang merupakan faktor penting dalam menentukan sama ada sesebuah ekonomi itu mampan atau tidak.
- KDNK gagal memasukkan pencemaran alam sekitar yang berlaku kerana kadar pengeluaran yang tinggi, yang dengan sendirinya merupakan petanda penting bahawa pengeluaran sedemikian tidak mampan dalam jangka masa panjang.
- KDNK tidak mengambil kira perolehan yang dilakukan oleh syarikat-syarikat luar negara, yang membawa kepada anggaran berlebihan keluaran ekonomi sebenar negara pengilang.
- Ia hanya memfokus pada pengeluaran barangan akhir dan tidak mengambil kira urusniaga ekonomi yang berkaitan dengan perbelanjaan perantaraan antara perniagaan.
Walaupun percubaan untuk mencipta indikator-indikator baharu telah dibuat, KDNK masih dianggap sebagai salah satu indikator yang paling andal bagi prestasi ekonomi. Metrik ini terus digunakan oleh negara-negara di seluruh dunia.
2023-04-21 • Dikemaskini