-
Adakah inflasi baik atau buruk?
Secara teorinya, kadar inflasi yang rendah boleh menunjukkan petanda ekonomi yang sihat dan semakin berkembang. Sebaliknya, kadar inflasi yang tinggi pula boleh merosakkan sesebuah negara. Walau bagaimanapun, terdapat golongan tertentu yang mendapat manfaat daripada situasi sedemikian.
-
Apakah kesan inflasi?
Terdapat pelbagai kesan inflasi. Dari satu sudut, inflasi dapat merangsang pengeluar domestik dan memberikan mereka pengalaman yang luar biasa dalam pengurusan krisis. Sebaliknya, ia membawa kepada penurunan pendapatan sebenar, masalah dengan pinjaman perkhidmatan, kekurangan daya saing dan banyak lagi.
-
Mengapa inflasi begitu tinggi sekarang?
Terdapat beberapa sebab mengapa inflasi global meningkat di seluruh dunia. Antaranya adalah:
- Kenaikan harga tenaga dan petrol. Harga minyak jatuh pada awal pandemik, tetapi permintaan telah pulih sejak itu dan mencapai paras tertinggi tujuh tahun.
- Kekurangan barangan. Pengilang di tempat-tempat seperti Asia bergelut untuk memenuhi permintaan sejak sekatan COVID-19. Ini menyebabkan kekurangan bahan seperti plastik, konkrit dan keluli, yang menyebabkan kenaikan harga.
- Kos penghantaran. Syarikat perkapalan global tidak menang tangan memenuhi permintaan yang meningkat selepas wabak itu. Ini bermakna peruncit terpaksa membayar lebih banyak untuk meletakkan produk ini di pasaran.
- Kenaikan gaji. Apabila kadar pengangguran rendah, syarikat perlu menaikkan gaji atau menawarkan bonus penerimaan jawatan untuk menarik dan mengekalkan kakitangan.
- Kesan iklim. Keadaan iklim yang teruk di kebanyakan rantau di dunia ini telah menyumbang kepada inflasi.
- Halangan perdagangan. Import yang lebih mahal juga turut menaikkan harga.
Inflation
Inflasi
Apakah itu inflasi?
Definisi inflasi bermaksud suatu kenaikan harga barangan dan perkhidmatan secara menyeluruh. Selalunya, kadar inflasi dilaporkan secara per tahun, atau biasa juga disebut "tahun ke tahun".
Selain itu, inflasi menunjukkan tahap penurunan nilai monetari dan mempengaruhi kemeruapan harga. Sebagai contoh, jika inflasi harga secara per tahun bersamaan dengan 6.7%, ini bermakna set barangan yang sama yang berharga $100 setahun yang lalu kini telah meningkat kepada $106.7. Akibatnya, wang $100 telah hilang atau susut kuasa belinya sebanyak 6.7%.
Sebaliknya, terdapat juga istilah seperti deflasi, yang berlaku apabila harga jatuh dan kuasa beli meningkat. Gabungan inflasi yang tinggi, pertumbuhan ekonomi yang perlahan, dan peningkatan pengangguran dikenali sebagai stagflasi. Kenaikan harga yang pantas, berlebihan dan di luar kawalan dipanggil hiperinflasi.
Tahap inflasi paling selesa dilihat sebagai tahap di mana terdapat pertumbuhan ekonomi secara berterusan dan tahap pengangguran kekal rendah.
Harga gula bertapis tahunan (sen per paun) menggunakan data daripada USDA
Apakah yang menyebabkan inflasi?
Untuk memahami apa itu inflasi dalam ekonomi, kita perlu mengetahui apakah penyebabnya. Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi harga dan menjadi penyebab inflasi dalam sesebuah ekonomi.
Inflasi tarikan permintaan (Demand-pull inflation)
Inflasi tarikan permintaan muncul daripada permintaan pengguna yang tinggi untuk produk atau perkhidmatan. Ia adalah keadaan apabila penggunaan tenaga kerja telah digunakan hampir sepenuhnya, ekonomi berkembang mendahului trend jangka panjang, dan jumlah wang untuk membeli banyak tetapi jumlah komoditi terlalu sedikit.
Bagaimana ia berlaku?
Terdapat beberapa teori inflasi. Dalam prinsip ekonomi Keynesian, misalnya, inflasi tarikan permintaan menggariskan kesan ketidakseimbangan penawaran dan permintaan secara keseluruhan. Apabila jumlah permintaan dalam ekonomi terlalu tinggi melebihi jumlah penawaran, harga akan meningkat. Ini adalah sebab utama berlakunya inflasi.
Beberapa prasyarat boleh menjadi penyebab inflasi tarikan permintaan:
- Ekonomi membangun. Apabila pengguna mempunyai keyakinan diri dari segi kewangan, mereka mula berbelanja lebih dan membuat lebih banyak pinjaman. Akhirnya, ini membawa kepada peningkatan permintaan yang kukuh, yang mengakibatkan harga naik lebih tinggi.
- Peningkatan permintaan eksport. Lonjakan eksport membawa kepada penilaian rendah matawang tempatan.
- Perbelanjaan kerajaan. Apabila kerajaan berbelanja dengan lebih bebas, harga juga meningkat.
- Jangkaan inflasi. Sesetengah syarikat cenderung untuk menaikkan harga apabila mereka menjangkakan inflasi dalam masa terdekat.
- Peningkatan aliran wang. Bekalan wang yang banyak dengan barangan untuk dibeli yang terlalu sedikit juga menyebabkan harga naik lebih tinggi.
Inflasi desakan harga (Cost-push inflation)
Juga dikenali sebagai inflasi desakan upah, inflasi desakan harga berlaku apabila harga meningkat disebabkan peningkatan kos upah dan bahan mentah.
Bagaimana ia berlaku?
Berikut beberapa sebab mengapa inflasi jenis ini berlaku.
- Kos buruh yang lebih tinggi. Kenaikan gaji minimum bagi setiap pekerja.
- Bencana alam. Antara punca-punca inflasi desakan harga yang tidak dijangka yang lazim adalah bencana alam.
- Peningkatan kos pengeluaran yang didorong oleh pihak berkuasa awam. Situasi seperti pertukaran kerajaan secara tiba-tiba akan menjejaskan keupayaan negara untuk mengekalkan pengeluarannya seperti sebelum ini. Walau bagaimanapun, situasi ini kerap berlaku di negara membangun.
- Pindaan undang-undang semasa. Walaupun biasanya sudah dijangkakan, beberapa undang-undang boleh mengakibatkan kos yang lebih tinggi untuk perniagaan.
Inflasi terbina
Inflasi terbina berlaku apabila terdapat cukup ramai orang yang menjangkakan harga akan terus meningkat. Mereka ini mungkin menuntut gaji yang lebih tinggi dengan menjangkakan harga yang lebih tinggi untuk mengekalkan kualiti hidup yang lama. Akhirnya, gaji yang lebih tinggi akan menyebabkan kos perniagaan yang lebih tinggi yang kemudiannya kos yang tinggi ini dibebankan pula kepada pengguna.
Jenis-jenis indeks harga
Ahli ekonomi mengukur inflasi dengan apa yang dikenali sebagai indeks harga, yang menjejaki harga set barangan dan perkhidmatan tertentu. Indeks yang paling popular ialah Indeks Harga Pengguna (CPI) dan Indeks Harga Borong (WPI).
Indeks Harga Pengguna
Setiap negara pasti mempunyai senarai satu set barangan dan perkhidmatan tertentu yang diperlukan untuk menjamin taraf hidup minimum – bakul pengguna (consumer basket). Indeks yang menunjukkan perubahan harga bakul ini dipanggil Indeks Harga Pengguna (IHP) atau Consumer Price Index (CPI).
CPI adalah salah satu indikator utama inflasi. Nilainya mencerminkan harga purata untuk perkhidmatan dan barangan di dalam bakul pengguna. Ia berfungsi sebagai titik rujukan untuk pengiraan semula gaji, faedah sosial dan pembayaran lain.
Indeks Harga Borong
Indeks Harga Borong (WPI) menggambarkan purata perubahan harga komoditi di peringkat borong. Ia mengukur inflasi dengan menentukan harga yang dibayar oleh pemborong kepada pengilang dan membandingkannya dengan harga tahun pendasar. WPI digunakan untuk menjejaki trend harga yang menunjukkan penawaran dan permintaan semasa dalam industri.
Indeks Harga Pengeluar
Dalam sektor pembuatan, Indeks Harga Pengeluar (PPI) mengukur kadar perubahan harga produk yang dijual apabila ia meninggalkan premis pengeluar. Ia tidak termasuk cukai, caj pengangkutan dan margin perdagangan yang mungkin perlu dibayar oleh pembeli. PPI menyediakan ukuran purata perubahan harga yang diterima oleh pengeluar pelbagai produk.
Bagaimana cara bersiap sedia untuk berdepan dengan inflasi?
Sebagai rakyat biasa, anda mungkin tertanya-tanya: Apakah yang boleh saya lakukan selain daripada untuk beralih ke pilihan yang lebih murah atau meminta kenaikan gaji? Nasib baik, ada cara yang lebih baik untuk bersedia menghadapi inflasi.
- Simpan stok barangan yang tahan lama. Membeli barang yang tidak mudah rosak dan barangan yang boleh disimpan lama mungkin satu permulaan yang baik.
- Pinjam secara bertanggungjawab. Anda boleh mempertimbangkan untuk membiayai semula rumah anda apabila kadar faedah menjadi lebih rendah.
- Beli saham yang akan mendapat manfaat daripada kenaikan harga. Melakukan analisis untuk sektor yang biasanya berfungsi dengan baik semasa krisis dan pertimbangkan untuk memilih saham mereka.
- Meninjau bon-bon kerajaan yang terlindung daripada inflasi. Tawaran sedemikian ialah alat yang hebat untuk melindungi modal anda. Sekuriti yang dilindungi oleh perbendaharaan akan meningkatkan pembayarannya berdasarkan kadar inflasi. Kesannya, kuasa beli anda akan meningkat seiring dengan peningkatan inflasi.
- Melabur dalam hartanah. Apabila inflasi melanda, harga hartanah biasanya akan meningkat juga.
Kebaikan dan keburukan inflasi
Walaupun ramai orang melihat inflasi sebagai fenomena yang negatif, yang mengakibatkan rakyat menjadi lebih miskin, ahli ekonomi memberitahu kita bahawa inflasi ada beberapa kesan yang positif.
Kebaikan
- Inflasi berfungsi sebagai rangsangan. Walaupun wang turun dari segi nilai, barangan import menjadi jauh lebih mahal berbanding produk setara yang dihasilkan dalam negara. Inflasi merangsang permintaan untuk produk domestik dan menyokong pengeluar tempatan.
- Proses inflasi secara ringkasnya akan merangsang pembangunan penggunaan barangan mahal. Orang ramai menjadi kurang berminat untuk menyimpan wang yang semakin susut nilainya dan mengambil keputusan untuk membeli barangan yang boleh memberikan mereka lebih banyak faedah.
- Syarikat yang mempunyai stok produk yang banyak akan mendapat peluang untuk mengosongkan gudang mereka apabila berlakunya peningkatan eksport. Nilai barangan yang dihasilkan dari negara lain yang mempunyai matawang lebih kukuh akan berkurangan. Oleh itu, produk akan mendapat kelebihan daya saing – harga yang lebih rendah.
- Inflasi membantu ekonomi untuk berkembang. Semasa tempoh krisis, pemain pasaran yang lemah tidak akan dapat menahan tekanan dan tidak lagi wujud. Syarikat yang kukuh menjadi lebih teguh. Mereka memperoleh pengalaman dalam pengurusan krisis dan pemahaman yang jelas tentang cara melindungi diri mereka daripada isu yang sama di masa hadapan.
Walaupun terdapat beberapa aspek positif, kadar inflasi yang tinggi akan menyebabkan banyak keburukan yang serius.
Keburukan
- Meningkatkan beban kewangan kepada belanjawan negara dan juga entiti perniagaan. Mereka perlu memastikan kemasukan barangan yang tergolong dalam kategori import kritikal.
- Penurunan pendapatan sebenar populasi, yang mengakibatkan bertambahnya rasa tidak puas hati dengan kerajaan semasa.
- Kesukaran membayar balik pinjaman yang dibuat dalam matawang asing.
- Meningkatnya ketidakpercayaan terhadap matawang negara, yang membawa kepada permintaan terhadap matawang asing. Bahaya ketidakseimbangan antara kemasukan wang dan perbelanjaannya berlaku. Ia boleh menyebabkan defisit monetari, memulakan kadar pertukaran rekaan, dan malah mampu memacu gelombang inflasi baharu.
- Krisis merangsang perusahaan untuk mengurangkan kos, biasanya dengan mengurangkan kakitangan dan mengagihkan semula tanggungjawab. Akibatnya ialah peningkatan dalam pengangguran dan potensi yang muncul untuk berlakunya pergolakan sosial.
- Inflasi menyumbang kepada pengaliran keluar modal daripada sektor pengeluaran. Wang mula tertumpu dalam bidang pengantaraan dan penggunaan, di mana peluang pendapatan meningkat berkali-kali ganda.
- Daya saing dalam pasaran asing akan berkurangan jika perusahaan tidak dapat melaksanakan pemodenan fasiliti pengeluaran tepat pada masanya.
Semasa menganalisis kesan inflasi, kebanyakan ahli ekonomi mengatakan bahawa kadar inflasi 5-6% setahun adalah “kadar yang sihat.” Ia menjadikan inflasi boleh diramal dan dikawal serta memberi kesan positif kepada ekonomi negara. Iaitu, sektor sebenar berkembang, begitu juga dengan pertumbuhan produk kasar.
Bagaimana cara mengawal inflasi?
Untuk memerangi inflasi yang tinggi, tindakan diperlukan dalam dua arah:
- Ambil langkah segera bagi mengurangkan kadar inflasi.
- Ambil langkah strategik untuk mengukuhkan ekonomi negeri.
Langkah segera
- Hadkan aliran wang baharu. Pinjaman adalah cara yang utama bagaimana wang dimasukkan ke dalam ekonomi. Untuk menyekat pinjaman, terma pengambilan pinjaman dilaras dengan menaikkan kadar utama dan kadar faedah tahunan agar ia menjadi tidak menguntungkan.
- Mengawal sistem perbankan. Memandangkan bank menguruskan wang, terdapat keperluan untuk mewujudkan kawalan ke atas aliran kewangan dalam negara. Bank perlu memberi pinjaman kepada sektor strategik ekonomi yang penting dan tidak membenarkan pinjaman yang tidak boleh dibayar balik (non-repayable loans).
- Mengawal barang keperluan sosial. Dalam tempoh inflasi yang tinggi, negara mesti mengawal harga barangan asas, seperti roti, tepung dan sebagainya. Pengeluar pertanian juga perlu diberikan sokongan.
- Mengawal pengeksport. Barangan eksport mestilah dalam kuantiti yang mencukupi di dalam negara. Ia juga harus dijual dengan harga yang bersesuaian.
Malangnya, langkah segera yang diambil tidak akan membawa negara keluar daripada krisis inflasi. Ia hanya boleh memperlahankan penurunan nilai. Untuk menyelesaikan masalah ini dengan sepenuhnya, langkah yang strategik perlu diambil.
Langkah strategik
- Mencapai sasaran inflasi yang ditetapkan. Perkara pertama yang wajib dilakukan oleh sesebuah negara adalah untuk memberikan garis panduan kewangan kepada perniagaan dan penduduk. Adalah penting untuk menyediakan maklumat yang tepat pada masanya mengenai kadar inflasi sebenar dan terancang bagi tahun semasa. Jika dilakukan dengan betul, ia akan mempercepatkan proses pemulihan ekonomi dan mengukuhkan keyakinan orang ramai terhadap pihak berkuasa.
- Perubahan dasar belanjawan. Kejatuhan ekonomi mengakibatkan kekurangan wang dalam belanjawan negara. Pengeluaran bekalan wang secara tidak bercagar tidak akan dapat menyelesaikan masalah ini. Proses penurunan nilai hanya akan tetap berlaku, dan inflasi akan terus meningkat.
- Penciptaan suasana yang selesa untuk pembangunan perniagaan. Usahawan ialah tenaga penggerak yang kuat yang mampu memulihkan ekonomi negara.
- Langkah menggantikan import. Mengurangkan pergantungan negara kepada import akan menjadikan ekonomi lebih tahan terhadap kejutan luaran.
Contoh inflasi
Terdapat banyak contoh dalam sejarah apabila penurunan nilai mencapai 100% atau lebih. Berikut adalah 3 kes yang paling ketara.
Hungary
Rangka masa: Ogos 1945 - Julai 1946
Kadar inflasi: 207% sehari
Disebabkan kekurangan pengeluaran, harga barangan di Hungary mula meningkat selepas perang. Tidak ada sistem cukai, jadi Hungary tiada apa-apa sumber untuk mengisi bajet negara. Kerajaan memutuskan untuk mencetak lebih banyak wang kertas dan menurunkan kadar faedah secara serentak. Akibatnya, Hungary dibanjiri dengan wang tidak bercagar.
Mata wang pengő Hungary ialah pemegang rekod inflasi dalam ekonomi dunia: setiap 15 jam, harga di pasaran negara itu meningkat dua kali ganda. Inflasi maksimum sebulannya ialah 40 000 000 000 000 000%.
Kemudian pada tahun 1946, pihak berkuasa melakukan pembaharuan monetari. Forint Hungary yang dimasukkan ke dalam edaran adalah bersamaan dengan 400 000 kuadrilion pengő. Orang Hungary masih menggunakan matawang baharu mereka.
Wang kertas 1 bilion pengő
Zimbabwe
Rangka masa: Mac 2007 – 2008
Kadar inflasi: 98% sehari
Wang tidak bercagar juga menjadi punca kejatuhan ekonomi Zimbabwe. Ia berlaku selepas suatu reformasi tanah khusus berlaku. Pembaharuan itu bertujuan untuk melucutkan plot dan ternakan petani British dan memberikannya kepada penduduk tempatan yang tidak mempunyai tanah.
Pemilik tanah baharu tidak tahu cara bercucuk tanam, jadi pengeluaran barangan eksport utama jatuh mendadak. Industri pembuatan juga jatuh – kebuluran dan peningkatan pengangguran mula berlaku. Pegawai kerajaan telah menjejaskan ekonomi negara mereka sendiri.
Satu-satunya “penyelamat” adalah denominasi wang mereka. Di Zimbabwe, ia telah dilaksanakan sebanyak tiga kali dalam tempoh 4 tahun.
Wang kertas 100 trilion dolar Zimbabwe
Yugoslavia
Rangka masa: April 1992 - Januari 1994
Kadar inflasi: 65% sehari
Ada banyak faktor yang menyebabkan hiperinflasi di Yugoslavia. Kematian pemimpin negara itu iaitu Tito, Slovenia meninggalkan negara tersebut, birokrasi yang parah, dan tindakan PBB yang mengenakan embargo perdagangan. Ekonomi yang goyah telah ditamatkan, jadi kerajaan mula menghidupkan mesin cetak mereka.
Hiperinflasi mencapai kemuncaknya pada tahun 1994 – 116 546 000 000% setahun. Dalam tempoh ini, dinar telah kehilangan fungsinya sebagai wang: di kedai, harga makanan dipaparkan dalam mata wang Jerman.
Kemudian, kerajaan menerima pakai Pelan Avramovich. Ia adalah satu set langkah kewangan yang tidak popular untuk menyelamatkan saki-baki Yugoslavia. Akibatnya, negara itu telah beralih kepada ekonomi pasaran. Walau bagaimanapun, keadaan hanya bertambah baik apabila perang tamat, dan sekatan telah ditarik balik pada tahun 1995.
5 ribu dinar Yugoslavia, 1985
Kesimpulan
Inflasi ialah kenaikan harga yang menyebabkan kuasa beli menurun dari semasa ke semasa. Kerajaan sentiasa mencari cara untuk mengawalnya melalui dasar monetari, kerana inflasi salah satu indikator yang paling penting untuk kekuatan ekonomi sesebuah negara.
2023-05-11 • Dikemaskini