Pelajaran 6: Beli atau Jual? 10 minit untuk dibaca

Sekarang tibalah masanya untuk melihat bagaimana cara untuk menganalisis pasaran supaya anda boleh membuat keputusan perdagangan – memilih antara pesanan beli dan jual untuk suatu instrumen perdagangan yang tertentu.

Apakah yang mendorong pergerakan di pasaran?

Secara amnya, persekitaran yang optimistik menyokong aksi-aksi risk-on (berani mengambil risiko) di pasaran (apabila semua orang membeli saham dan komoditi), manakala pesimisme mendorong pelabur mengelak dari mengambil risiko jadi mereka mencari peluang berurusniaga yang lebih selamat untuk melestarikan dana mereka (lalu membeli aset seperti emas dan franc Swiss). Walau bagaimanapun, ada pelbagai faktor yang terlibat di sini.

"Saya ingin tahu bila saya patut membuka urusniaga beli dan bila pula saya patut menjual!"

Di bawah ini anda akan menemui senarai ringkas tentang faktor-faktor yang boleh menggerakkan pasaran termasuk kesannya pada matawang.

Peristiwa politik dan geopolitik

1. Pertukaran pemimpin negara dan pegawai tertinggi (pilihan raya Presiden, pilihan raya Parlimen, Lembaga Pengarah dan Pengerusi Bank Pusat). Kesan: kemeruapan matawang dan pasaran saham meningkat.

Contoh. Nikkei Jepun 225 telah melonjak pada penghujung Ogos 2021 berikutan berita bahawa Perdana Menteri Suga merancang untuk mengundurkan diri: pasaran menganggapnya sebagai satu petanda bahawa gelombang pembaharuan akan berlaku.

1.png

2. Perubahan pendirian sesebuah negara dalam hubungan antarabangsa (penjajaran semula geopolitik sesebuah negara di pentas dunia, perubahan prioriti di peringkat global). Kesan: risiko, kemeruapan, dan tekanan menurun terhadap pasaran matawang dan pasaran saham.

Contoh. Di sini kita boleh gunakan dasar Amerika Syarikat terhadap China sebagai contoh. Selepas diangkat sebagai presiden, Donald Trump telah melancarkan kritikan yang lantang terhadap hubungan perdagangan AS-China. Ini seterusnya membawa kepada pergerakan yang besar pada carta dolar AS melawan yuan China (USDCHN).

3. Sebarang acara atau peristiwa lain yang berkeutamaan tinggi yang melibatkan seluruh negara atau wilayah. Kesan: peningkatan kemeruapan dan risiko penurunan untuk matawang dan pasaran saham.

Contoh. Carta di bawah menunjukkan penjualan pound British secara besar-besaran berikutan keputusan referendum Brexit yang menunjukkan bahawa Britain telah mengundi untuk meninggalkan Kesatuan Eropah.

2.png

Logiknya mudah: apa sahaja yang meningkatkan perdagangan dan ekonomi sesebuah negara adalah baik untuk matawangnya, manakala ketegangan dan perkelahian dengan negara lain biasanya memberikan kesan yang negatif ke atasnya. Pasaran saham pula menyukai berita tentang rangsangan fiskal dan pemotongan cukai dan mereka sangat tidak suka dengan kenaikan kadar cukai. Akhir sekali, beberapa tindakan penggubal dasar juga boleh mempengaruhi sektor ekonomi tertentu. Sebagai contoh, fokus Joe Biden pada tenaga hijau menyokong saham pengeluar kenderaan elektrik seperti Tesla dan Ford.

Acara ekonomi

1. Perubahan kadar faedah bank pusat

Kesan: kenaikan kadar meningkatkan nilai matawang, manakala pemotongan kadar membawa kepada penyusutan nilai matawang sesebuah negara.

Contoh. Dolar AS meningkat sebanyak 3300 poin berbanding yen Jepun pada 14 Disember 2016, selepas bank pusat AS, Rizab Persekutuan, menaikkan kadar faedahnya.

3.png

2. Perubahan nada dasar monetari bank pusat

Kesan: kenyataan yang hawkish menyokong matawang nasional, manakala nada yang dovish biasanya menekannya ke bawah.

Anda akan kerap menemui perkataan "dovish" dan "hawkish" di dalam laporan berita dan artikel ekonomi. Ia merujuk kepada dasar bank pusat. Hawkish bermaksud bank pusat berkaitan mengambil berat tentang inflasi yang tinggi dan menyasarkan untuk mengetatkan dasar dan meningkatkan kadar faedah dalam ekonomi seliaannya. Dasar yang hawkish cenderung menguatkan matawang. Bank pusat yang dovish pula sebaliknya: mereka berusaha untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dengan menetapkan kadar faedah pada paras yang rendah. Dasar yang dovish adalah negatif untuk matawang.

Seringkali terjadi di mana, walaupun dasar masih belum berubah (kenaikan atau penurunan kadar faedah, dsb.), bank pusat memberikan isyarat kepada pasaran terlebih dahulu, iaitu menyatakan apakah rancangan mereka. Harga pelbagai instrumen kewangan pun bertindak balas terhadap "pengisytiharan nawaitu" ini.

Contoh di atas menggambarkan perubahan ini juga.

"Dasar monetari dan kadar faedah tampak rumit…"

Anggaplah ia sebagai kes di antara pesakit dan doktor. Jika anda sakit, anda pergi menemui doktor kerana doktor adalah profesional kesihatan. Oleh itu, jika doktor berkata "anda baik-baik saja", maka anda gembira dan bergegas bermain parkour semula, meloncat dari bumbung satu bangunan ke bangunan lain. Jika doktor berkata, "Maaf, kawan, setakat di sini sahaja, habislah kamu", maka anda pesimis dan tidak mahu melakukan sesuatu yang berisiko. Samalah halnya di sini – bank pusat ibarat seperti doktor kesihatan ekonomi. Jika mereka mengatakan ia kelihatan baik, ia seperti pencetus risiko dan penggalak matawang. Jika mereka mengatakan perkara yang buruk, matawang jagaan mereka akan turun, bersama dengan mood para pedagang sekali.

3. Perubahan suasana ekonomi domestik

(KDNK, pengangguran, inflasi, aktiviti perniagaan, tahap pengeluaran, dsb.) Kesan: prestasi ekonomi domestik yang lebih mantap menyokong matawang negara dan meniupkan mood berisiko ke pasaran saham, manakala persekitaran domestik yang lesu menyemai mood bearish ke pasaran matawang dan saham.

Secara ringkasnya, lebih baik situasai ekonomi, lebih baik prestasi matawangnya dan begitu juga sebaliknya.

Contoh. Pada 6 Ogos 2021, Amerika Syarikat mengumumkan angka pasaran buruh yang lebih baik daripada jangkaan. USDCAD telah meningkat sebanyak 700 poin.

4.png

Peristiwa sosial: rusuhan dan pergolakan sosial

Kesan: memberi tekanan kepada pasaran matawang dan saham serta meningkatkan kemeruapan.

Contoh

0.png

Selepas memenangi jawatan Presiden AS, Joe Biden dijadualkan untuk mengangkat sumpah pada Januari 2021 – dan pergolakan sosial menjdi tajuk utama berita yang baharu, meletakkan dolar AS di bawah tekanan.

Peristiwa alam semulajadi

Kesan: bencana alam mampu memaksa matawang atau pasaran saham menjunam, manakala minyak dan gas, sebaliknya, boleh meningkat nilainya.

Contoh: Taufan Ida melanda hab minyak dan gas yang utama, berkemungkinan tinggi melonjakkan harga gas.

Harga minyak dan gas didorong oleh permintaan dan penawaran. Bila taufan melanda prasarana, pengeluaran semakin kurang gas dan minyak yang dihasilkan dan dijual, lantas semakin tinggilah harga komoditi tenaga ini.

"Saya sudah nampak sekarang. Bagaimanakah boleh saya rancang perdagangan saya berdasarkan semua acara dan peristiwa ini?"

Dengan kalendar. Lihat kalendar untuk ketahui acara ekonomi masa depan dan pengumuman penting, dan bersedialah untuk bertindak apabila tiba masanya.

Kalendar ekonomi

Anda boleh temui kalendar di laman web kami dan di dalam aplikasi FBS Trading Broker.

Pertama sekali, ada kalendar ekonomi untuk matawang. Pilih tempoh masa untuk maklumat yang anda ingin: biasanya, pedagang memilih untuk melihat acara bagi hari atau minggu semasa. Sebaik sahaja tiba masa yang dijadualkan, bacaan sebenar untuk indikator ekonomi akan muncul di kalendar. Semakin besar perbezaannya dengan angka unjuran, lebih besar kesannya terhadap matawang yang dirujuk oleh indikator.

5.png

Sila maklum bahawa setiap acara atau peristiwa mempunyai tahap kepentingan yang berbeza-beza.

Pengkelasan acara di kalendar

  1. Tiga titik merah: acara-acara yang paling penting bagi pasaran;

  2. Dua titik kuning: acara-acara yang kepentingannya agak terbatas yang tidak semestinya akan mencetus pergerakan yang besar di pasaran;

  3. Satu titik hijau: acara-acara yang kewujudannya mungkin tidak disedari di pasaran – berguna untuk strategi-strategi yang melibatkan matawang tertentu sahaja.

Jika anda berdagang saham, anda akan berminat dengan kalendar laporan perolehan syarikat. Saham cenderung bergerak naik dan turun berdasarkan jangkaan perolehan sesaham (EPS) yang lebih tinggi/rendah. Di samping itu, harga saham bertindak balas terhadap angka sebenar yang diumumkan.

6.png

Sebagai contoh, PepsiCo melaporkan keputusan perolehan yang mantap untuk suku kedua: keputusan kewangan sebenar ternyata lebih baik daripada yang diramalkan oleh penganalisis. Kesannya, saham PepsiCo melonjak! Lihat sahaja carta di bawah.

7.png

Kebanyakan laporan perolehan diterbitkan sewaktu apa yang dipanggil musim perolehan: pada bulan Januari, April, Julai dan Oktober. Pada waktu lain, pedagang mengikuti berita-berita yang berkaitan dengan syarikat individu – tentang produk baharu yang mereka miliki, jumlah jualan, penggabungan dan pengambilalihan.

Bagaimana cara menganalisis carta

Komponen-komponen carta

Menganalisis carta boleh menjadi lebih mudah jika anda melakukannya dengan cara yang berstruktur. Oleh itu, mari kita susun komponen-komponen carta sekarang. Sebuah tetingkap carta menunjukkan kepada anda:

  1. Aksi harga aset;

  2. Indikator.

8.png

Rangka masa ialah tempoh yang anda tetapkan bagi setiap unit aksi harga. Contohnya, M1 menunjukkan perubahan yang berlaku pada harga bagi setiap tempoh 1 minit (blok hijau di carta bermakna harga telah naik, manakala blok merah menandakan ia telah turun). Dengan rangka masa D1, setiap anak tangga harga merujuk kepada perubahan dalam tempoh sehari.

9.png

"Apakah rangka masa yang terbaik?"

Tidak ada satu rangka masa yang terbaik. Semuanya bergantung pada seberapa lama urusniaga anda akan dikekalkan aktif (dibiar terus terbuka) menurut perancangan anda. Jika anda merancang untuk menutup urusniaga anda selepas sejam, fokus pada H4 dan H1. Jika anda sasarkan untuk membiarkan ia aktif selama beberapa minggu, rujuk carta W1 dan D1.

Sentiasa semak rangka masa yang lebih besar! Jika anda berdagang di carta M30, semak H1 dan H4: anda mungkin akan melihat trend dan aras-aras yang penting di sana.

Trend

Perkara pertama yang perlu dilihat apabila anda membuka carta ialah trend.

Trend ialah arah umum harga aset di pasaran. Uptrend (atau trend menaik) ialah apabila harga bergerak ke arah atas dan downtrend (trend menurun) ialah apabila harga meleset ke bawah. Ketika harge bergerak di dalam uptrend, harga membentuk paras tertinggi yang lebih tinggi (HH)) dan paras terendah yang lebih tinggi (HL). Ketika harga berada dalam downtrend, harga membentuk paras tertinggi yang lebih rendah (LH) dan paras terendah yang lebih rendah (LL).

10.png

Prinsip klasik yang menjadi pegangan dalam perdagangan adalah untuk membeli di waktu uptrend dan menjual di waktu downtrend.

Garisan trend

Untuk memanfaatkan potensi trend sepenuhnya, pedagang melukis garisan trend: garisan rintangan menghubungkan aras-aras tertinggi harga, manakala garisan sokongan melalui aras-aras terendah harga. Anda memerlukan sekurang-kurangnya dua titik (2 harga tertinggi/2 harga terendah) untuk melukis garisan trend.

Sebagai contoh, kami telah melukis garisan sokongan merentas paras harga terendah dalam gambarajah di bawah:

11.png

Tujuan garisan trend ini dibuat adalah untuk mengunjurkan masa hadapan: apabila harga tiba di garisan ini pada kali yang seterusnya, ia dijangka akan melantun dari garisan tersebut ke sebelah atas. Lihat bagaimana situasi ini terungkap:

12.png

Tempat-tempat yang ditandakan dengan anak panah menunjukkan peluang-peluang yang baik untuk membuka pesanan beli.

Jenis-jenis carta

Ia mentakrifkan apa yang dilihat dalam tetingkap carta:

  • Carta garisan menampilkan aksi harga dalam bentuk lengkuk yang bergerigi – itulah cara paling mudah untuk memperihalkannya, berguna untuk memahami dinamik harga secara menyeluruh;

  • Candlestick – setiap anak tangga harga kelihatan seperti lilin dengan badan, sumbu dan bayang-bayangnya mencerminkan harga pembukaan/penutupan dan harga maksimum/minimum bagi setiap tempoh rangka masa, berguna untuk semua, baik pedagang pemula mahu pun yang berpengalaman;

  • Bar – serupa dengan candlestick tetapi dalam “gaya Amerika”, dengan komponen yang sama, kebanyakannya digunakan oleh mereka yang mempunyai kecenderungan khusus dengan gaya carta ini (hanya di MT).

13.png

Carta candlestick adalah carta yang paling popular dalam kalangan pedagang kerana anda boleh mendapatkan maklumat tentang banyak perkara hanya dengan melihat saiz dan bentuk candlestick. Contohnya, apa yang digelarkan sebagai candlestick "shooting star" (kandil yang "berbadan" kecil dan sumbu atas yang panjang) menandakan penyongsangan arah menuju ke bawah jika ia muncul selepas berlakunya kenaikan harga.

14.png

Untuk mempelajari lebih lanjut tentang candlestick Jepun, semak kursus khusus daripada kami dalam seksyen 'Intermediate'.

Indikator teknikal

"Saya pernah terdengar bahawa terdapat pelbagai alat yang boleh membantu pedagang melakukan analisis carta. Adakah itu benar?"

Ada terdapat banyak indikator di dalam MetaTrader, tetapi kebanyakan daripadanya termasuk dalam salah satu daripada dua golongan:

1. Indikator trend (Purata Bergerak, Jalur Bollinger, dsb.)

Indikator jenis ini biasanya dipaparkan bersama-sama dengan aksi harga di dalam tetingkap carta dan fungsinya adalah untuk mencadangkan arah gerakan yang mungkin dilakukan oleh harga. Purata Bergerak (MA, Moving Averages) adalah indikator perdagangan yang paling popular dan paling sering digunakan.

2. Osilator (MACD, Momentum, Relative Strength Index, Stochastic, dsb.)

Osilator biasanya dipaparkan dalam tetingkap yang berasingan di bawah tetingkap carta utama dan ia mencerminkan dinamik dalaman pasaran bagi tempoh aksi harga yang digunakan. Biasanya, para pedagang menggunakan osilator bersama dengan aksi harga dan indikator trend untuk membuat kesimpulan analisis.

Indikator teknikal berguna kerana ia melakukan semua pengiraan untuk anda dan menunjukkan kepada anda hasilnya dalam bentuk visual, sekali gus menjimatkan masa. Untuk menggunakan indikator dengan jayanya, baca untuk mengetahui apakah yang mahu ia tunjukkan kepada anda dan cara mentafsir isyaratnya.

Untuk menambahkan indikator ke carta di MetaTrader, pilih "Insert" di panel atas dan kemudian "Indicators.”

15.png

Membuat keputusan perdagangan

16.png

"EURUSD sedang naik, jadi saya harus membeli secepat mungkin. Benarkah?"

Kesilapan pedagang yang paling lazim adalah membuat keputusan terlalu pantas tanpa mempertimbangkan situasi dengan teliti. Ya, adalah lebih baik untuk fokus pada urusniaga beli ketika uptrend, namun walaupun trend harga sedang menaik ke atas, harga tidak akan sentiasa menaik. Selain dari itu, bagaimana jika uptrend berpatah balik ke bawah? Untuk membuka sebarang urusniaga, anda perlu mencari beberapa isyarat pada carta yang memberikan jawapan yang sama, beli atau jual. Trend hanyalah salah satu daripada isyarat-isyarat tersebut.

Adalah penting untuk sentiasa mendapatkan gambaran yang lebih besar. Jika anda sedang memikirkan untuk membeli, semak jika terdapat sebarang rintangan di atas harga tersebut. Setelah mengezum keluar, kita dapat melihat bahawa pasangan itu sebenarnya sudah tiba ke kawasan harga tertinggi sebelum ini di 1.1900, dari mana ia berpatah balik ke bawah. Kesan dari itu, idea perdagangan yang lebih baik ialah menunggu sehingga harga membentuk paras tinggi yang lebih rendah (lower high) selepas gagal menembusi garisan rintangan ini dan kemudian menjual.

17.png

Berikan perhatian anda kepada aras-aras rintangan dan sokongan. Rintangan ialah aras di atas harga semasa di mana pertumbuhan harga berkemungkinan akan berhenti/menyongsang. Rintangan boleh diberikan oleh aras harga tertinggi/terendah sebelum ini, Purata Bergerak (MA), aras-aras penting seperti $2000 untuk emas, dll. Perkara yang sama boleh menghentikan atau menyebabkan penyongsangan gerakan menurun harga – dalam kes seperti ini, ia dipanggil sebagai aras sokongan.

Melakukannya dengan betul

Sila lihat carta di bawah.

18.png

Kami telah menandakan sebab-sebab untuk membuka urusniaga jual dengan nombor. Apakah maksudnya di sini?

Pertama, EURUSD membentuk paras tinggi yang lebih rendah – petanda bahawa uptrend mengalami jeda. Kedua, harga menembusi ke bawah 20SMA (Purata Bergerak, garisan ungu). Sebab-sebab ini memberi keyakinan yang mencukupi kepada pedagang untuk membuat pesanan jual. Perhatikan Amilan Untung yang ditetapkan pada paras terendah sebelum ini, manakala Renti Rugi ditetapkan di atas tahap penembusan.

Ringkasan pelajaran

  • Pelbagai acara dan peristiwa politik, ekonomi, alam sekitar, dan sosial menggerakkan matawang, tenaga, logam, saham dan indeks;

  • Peristiwa seperti taufan menggegarkan pasaran secara mengejut, tetapi acara-acara lain seperti pengumuman data inflasi suatu negara ada tersenarai dalam kalendar ekonomi. Anda boleh semak kalendar setiap hari sebelum anda mula berdagang;

  • Dasar-dasar bank pusat memberikan impak yang paling besar ke atas aset kewangan, oleh itu adalah wajar untuk memantau dasar, keputusan, dan kenyataan yang dibuat oleh bank-bank ini;

  • Semasa menganalisis carta, lihat harga itu sendiri (candlestick Jepun). Indikator teknikal juga boleh membantu analisis anda.

Akhirulkalam

Terima kasih kerana telah mengikuti pelajaran kami untuk para pemula. Sekarang anda sudah mengetahui asas-asas perdagangan! Urus dana anda dengan bijak dan rancang urusniaga anda dengan berhati-hati. Teruskan berlatih: hanya latihan yang mampu memberikan anda pengalaman dan kemahiran berdagang. Hadiri sesi live trading dan webinar anjuran FBS. Penganalisis dan tutor perdagangan syarikat sentiasa bersedia untuk menjawab soalan-soalan anda. Ayuh, tinjau kursus-kursus lain untuk mendapatkan lebih banyak wawasan tentang perdagangan!

Kongsi kepada rakan-rakan: